Rabu, 7 Februari 2018 | 11:54pm
PEMAIN Negeri Sembilan, Nicolas Leandro Velez bersaing dengan penjaga gawang Kuala Lumpur, Kamarul Effandi Abdul Rahim pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi. - Foto Hazreen Mohamad

NS raih kemenangan sulung

SEREMBAN: Negeri Sembilan bangkit daripada kekalahan lalu apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan kedua saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Penyerang Argentina, Nicholas Velez muncul wira tuan rumah apabila meledak kedua-dua gol pada perlawanan itu.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif pada awal permainan dengan masing-masing berusaha menguji benteng dalam usaha mendapatkan gol, bagaimanapun setiap kali gerakan ke arah pintu gol mudah dipatah pertahanan masing-masing.

Bagaimanapun Negeri Sembilan lebih awal mendapat rentak apabila hasil gerakan pantas, Velez yang mengetuai jentera serangan bijak melepasi benteng Kuala Lumpur untuk merembat deras menewaskan penjaga gol pelawat, Kamarul Effandy Abdul Halim pada minit ke-11.

Jaringan itu menaikkan semangat skuad Hobin Jang Hobin yang turun dengan misi memburu kemenangan sulung selepas kecundang kepada PKNP FC pada aksi pertama dengan terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu Kuala Lumpur.

Anak buah Jorg Steinebrunner memperkemaskan jentera serangan dan usaha itu berhasil apabila Velez membuktikan kehebatannya memanfaatkan bola hantaran Khairul Izuan Rosli dari bahagian sayap untuk meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-31.

Berita Harian X