Jumaat, 9 Februari 2018 | 12:56am
KEHADIRAN bekas pemain Selangor dan pemain kebangsaan Indonesia Andik Vermanshah (kanan) tiba di Alor Setar petang tadi menguatkan lagi teka teki penyokong Kedah berkaitan calon import kelima skuad Lang Merah untuk kuota pemain Asean. - Foto Izzali Ismail

Andik perkuat spekulasi ke Kedah

 

ALOR SETAR: Kehadiran bekas pemain Selangor, Andik Vermanshah di Alor Setar petang tadi, menguatkan spekulasi pemain kebangsaan Indonesia itu bakal menyertai skuad Lang Merah. 

Difahamkan pemain berusia 27 tahun itu berlepas dari Surabaya pagi tadi dengan ditemani abangnya Indera. 

Beliau yang turut disertai beberapa petugas dan dan ejen, kemudian kelihatan di sebuah hospital swasta di Alor Setar malam tadi dipercayai bagi tujuan pemeriksaan kesihatan bagi melengkapkan proses pendaftaran. 

Sebelum ini, Andik dikatakan bakal mengisi tempat sebagai pemain import kelima kuota Asean untuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA). 

Kehadiran pemain kelahiran Jember, Indonesia ini mendapat perhatian penyokong Kedah selepas berita kehadirannya 'viral' di media sosial dengan reputasi  pemain tengah dan sayap yang  mempunyai larian deras yang mampu mengucar-kacirkan pertahanan lawan serta memiliki naluri pemusnah.

Pihak KFA bagaimanapun belum membuat sebarang pengumuman rasmi berkaitan kehadiran Andik di Kedah. 

Andik dikatakan bakal menyertai empat lagi tenaga import Lang Merah iaitu Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva , Alvaro Silva dan Pablo Pallares.

Penyokong Kedah pastinya berharap Andik akan mengukuhkan jentera serangan Kedah selepas tewas dalam dua perlawanan awal kempen Liga Super 2018 setelah tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Larkin sebelum kalah kepada Perak di gelanggang sendiri pada Rabu. 

Berita Harian X