Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:22pm
PRESIDEN KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kehadiran Andik Vermanshah diyakini mampu mengukuhkan jentera pasukan Kedah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Andik mampu perkuat cengkaman Helang Merah

ALOR SETAR: Kehadiran pemain kebangsaan Indonesia, Andik Vermanshah diyakini mampu memenuhi keperluan untuk mengukuhkan jentera pasukan Kedah bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kehadiran bekas pemain Selangor itu bagi mengisi kekosongan pemain import kelima kuota Asia Tenggara (ASEAN) serta berdasarkan keperluan ketua jurulatih, Ramon Marcote.

Ahmad Bashah bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi kehadiran Andik di sini, petang semalam kerana ia urusan pihak pengurusan KFA.

"Saya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pengurusan KFA untuk membuat pilihan terbaik bagi mengisi kuota pemain ASEAN.

"Siapa pun pemain yang dipilih, saya percaya ia bagi memenuhi keperluan ketua jurulatih Kedah dan penyokong kita juga mahu supaya pasukan diperkuatkan bagi mengharungi cabaran musim ini," katanya selepas menyampaikan angpau dan bahan keperluan asas kepada warga emas Parlimen Alor Setar di Simpang Kuala, hari ini. 

Terdahulu, kelibat Andik di sebuah hospital swasta bagi tujuan pemeriksaan, di sini malam tadi menguatkan spekulasi pemain berusia 27 tahun itu bakal menyarung jersi skuad Helang Merah. 

Kehadiran pemain kelahiran Jember, Indonesia itu mendapat perhatian penyokong Kedah selepas berita kehadirannya tular di media sosial.

Sementara itu, Ahmad Bashah meminta semua penyokong Helang Merah tidak cepat kecewa dengan kekalahan berturut-turut pasukan itu dalam dua perlawanan awal Liga Super.

"Saya harap penyokong kita akan terus memberi sokongan dan tidak memandang negatif terhadap kemampuan pasukan kita berdasarkan kepada dua perlawanan awal.

"Kita perlu memberi peluang kepada ketua jurulatih dan pemain kerana mereka masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pasukan dan rentak permainan," ujarnya.

Berita Harian X