Sabtu, 10 Februari 2018 | 7:59am
AUBAMEYANG perlu buktikan dia mampu julang Arsenal. -Foto AFP

Peluang Aubameyang tunjuk belang

 

arullah@bh.com.my

 

KEPUTUSAN perlawanan memberi impak paling besar minggu lalu adalah kekalahan mengejut Chelsea, 1-4 kepada Watford. Tiada siapa menjangka The Blues begitu mudah dijinakkan pasukan pertengahan liga.

Dua impak ketara daripada keputusan itu. Pertama, kedudukan Chelsea pada posisi empat terbaik kian tergugat. Selepas 26 aksi, The Blues kekal di tangga keempat, namun hanya kelebihan satu mata di belakang Tottenham Hotspur dan lima di belakang Arsenal.

Mujur juga Liverpool yang menghuni tempat ketiga, diikat Tottenham minggu lalu. Ini sekali gus menyaksikan mereka hanya ketinggalan satu mata. Namun, anak buah Antonio Conte ini ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City manakala enam di belakang Manchester United, di tempat kedua.


ANTONIO CONTE

Impak kedua kekalahan di Stadium Vicarage Road ini adalah spekulasi mengenai kemungkinan Conte dipecat pemilik kelab, Roman Abramovich. Ada ura-ura mengaitkan calon pengganti warga Itali itu sudah pun ada iaitu Luis Enrique.

Namun setakat ini, perkhabaran itu kekal sekadar sebagai khabar angin dengan Conte dilapor akan terus membawa skuad The Blues berdepan West Brom, pada awal pagi Selasa ini waktu Malaysia.

Pun begitu, seandainya Chelsea gagal di Stamford Bridges sudah pasti Conte harus bersedia berdepan satu lagi spekulasi kemungkinan dipecat jika kemarahan Abramovich sukar lagi dibendung.

Okey bagi minggu ini, tumpuan perlawanan tentunya membabitkan aksi Spurs-Arsenal di Stadium Wembley, malam ini. Dua pasukan berjiran di Utara London ini akan membuat perhitungan bukan saja untuk maruah masing-masing malah lebih dari itu.

Ketika ini barisan Mauricio Pochettino dan Arsene Wenger hanya dipisahkan lima mata selepas masing-masing menduduki tangga kelima dan keenam. Dan kedua-duanya jelas berada dalam di luar lingkungan untuk layak ke Liga Jura-Juara musim depan.

Sebelum tampil menyambut kunjungan The Gunners, minggu lalu Spurs mencuri satu mata dari Anfield selepas terikat 1-1 dengan The Reds, manakala lawannya itu membelasah Everton, 5-1.

Kejayaan Arsenal di laman sendiri itu sudah tentunya dikaitkan dengan kecemerlangan bintang baharu mereka, Pierre-Emerick Aubameyang yang dibeli dari kelab liga Jerman, Borrusia Dortmund.   

Gandingannya bersama bekas bintang United, Henrikh Mkhitaryan dan Mesut Özil yang begitu menjadi, kini dilihat sebagai senjata baharu Wenger untuk meranapkan Spurs yang ditunjangi kapten England, Harry Kane.


SENTUHAN Sanchez (tengah) ditagih United yang akan bertemu Newcastle di St James Park. -Reuters

Selain pertarungan Kane-Aubameyang, sudah pasti kita ingin juga melihat saingan 

antara Aaron Ramsey dan Dele Alli serta Ozil dengan Christian Eriksen. Sebelum pertembungan malam ini, Spurs tidak pernah kalah dalam lapan aksi terakhir manakala Arsenal hanya menang dua kali dalam aksi terakhir.

Sementara itu, United yang mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield minggu lalu termasuk satu menerusi sentuhan Alexis Sanchez, akan berkunjung ke St James Park bertemu Newcastle United dengan harapan untuk meraih mata penuh.

Liverpool yang masih dibayangi kemarahan dengan keputusan pengadil pada aksi menentang Spurs di laman sendiri minggu lalu, akan membuat kunjungan ke Southampton dengan sasaran untuk kembali mencatat kemenangan. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-27

Tottenham 2 Arsenal 2

Everton 1 Crystal Palace 1

Swansea 2 Burnley 2

Stoke City 1 Brighton 1

West Ham 1 Watford 2

Man City 3 Leceister City 0

Huddersfield 3 Bournemouth 2

Newcastle 1 Manchester United 3

Southampton 1 Liverpool 1

Chelsea 2 West Brom 1

* Penulis adalah Penolong Editor Sukan NSTP

 

1110 dibaca
Berita Harian X