Isnin, 12 Februari 2018 | 2:45pm
Bek tengah paling mahal Manchester City, Aymeric Laporte (kiri) sentiasa mengimpikan perkara besar dan salah satu daripadanya ialah Liga Juara-Juara. - Foto REUTERS

Laporte perkukuh City jumpa Basel

LONDON: Bek tengah paling mahal Manchester City, Aymeric Laporte bakal menjadi pelengkap kepada rombakan benteng bernilai 200 juta pound (RM1.1 bilion) pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam memburu empat kejuaraan musim ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola akan mengharungi empat perlawanan dalam empat pertandingan berbeza bermula esok, bertandang ke Basel untuk perlawanan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Pertemuan pusingan kelima Piala FA di Wigan menyusul sebelum Arsenal menanti mereka pada final Piala Liga dan kemudian satu lagi pertemuan dengan The Gunners dalam saingan Liga Perdana Inggeris - di mana City mendahului liga dengan kelebihan 16 mata.

Bagaimanapun pentas Liga Juara-Juara adalah faktor utama yang mendorong pemilik City dari Abu Dhabi mendapatkan Guardiola sehingga sanggup mengeluarkan belanja besar untuk menguatkan skuad.

"Saya sentiasa mengimpikan perkara besar dan salah satu daripadanya ialah Liga Juara-Juara," kata Laporte ketika tiba dari Athletic Bilbao pada hari terakhir jendela perpindahan bulan lalu.

"Itu matlamat nombor satu."


PENYERANG City, Sergio Aguero meledak empat gol ketika membelasah Leicester City Sabtu lalu membuktikan jentera serangan City masih berbisa. - Foto REUTERS

Sementara itu, Leroy Sane dan Gabriel Jesus akan terlepas kedua-dua aksi menentang Basel akibat kecederaan buku lalu dan lutut, manakala peranan David Silva sepanjang tahun ini terhad akibat kecederaan dan kelahiran pra-matang bayinya.

"Kami mempunyai banyak kecederaan - Gabriel Jesus, David Silva, Benjamin Mendy - tetapi saya harap kami dapat bersaing untuk semua perlawanan dalam semua pertandingan," kata Guardiola.

"Kami akan cuba dan melakukan apa yang termampu."

Empat gol jaringan Sergio Aguero ketika membelasah Leicester City 5-1 Sabtu lalu membuktikan jentera serangan City masih berbisa menerusi penyerang Argentina itu yang bakal menjadi taruhan untuk mencari bekalan selesa di Basel. - AFP

987 dibaca
Berita Harian X