Isnin, 12 Februari 2018 | 5:49pm
SYAMER Kutty Abba (kanan) giat jalani latihan bersama kelab liga divisyen tiga Portugal, Vilaverdense FC dan sedia menunggu peluang untuk beraksi. - Foto Vilaverdense FC

Syamer sedia rebut tempat

KUALA LUMPUR: Pemain muda negara, Syamer Kutty Abba bersedia menunggu peluang untuk beraksi di Vilaverdense FC walaupun sudah lebih dua minggu berlatih bersama kelab liga divisyen tiga Portugal itu.

Katanya, sehingga kini dia dan rakannya Dominic Tan masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan pasukan itu.

"Alhamdulillah, setakat ini semua dalam keadaan baik, intensiti latihan di sini agak tinggi tapi aspek lain kebanyakan agak sama saja. Cuma cuaca di sini juga sejuk, jadi kami kena biasakan diri," katanya.

Syamer dan Dominic yang masing-masing berusia 20 tahun berkelana di Portugal selepas dipinjamkan selama setahun oleh kelabnya Johor Darul Ta'zim (JDT) bulan lalu.


DOMINIC Tan (kiri) berkelana di kelab liga divisyen tiga Portugal, Vilaverdense FC selama setahun. - Foto Vilaverdense FC

Kedua-dua pemain ini adalah tonggak skuad bawah 23 tahun negara (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China.

Sebelum ini, Nazmi Faiz Mansor menjadi pemain Malaysia pertama beraksi dengan kelab utama Portugal, SC Beira-Mar selama tiga tahun namun pemain tengah itu hanya mampu bertahan selama enam bulan sebelum kembali semula ke tanah air.

Syamer yang berasal dari Pulau Pinang mengakui cabaran dilalui di sini namun akan berusaha untuk menimba pengalaman seberapa banyak yang boleh.

"Di sini, jurulatih (António Barbosa) akan bantu saya dalam komunikasi. Sekarang liga sudah bermula, sudah separuh musim jadi bukan mudah untuk kami mendapat tempat dalam pasukan. Saya mahu menimba ilmu di sini dan memperbaiki prestasi sendiri.

"Saya akan buat sehabis baik dan terserah kepada jurulatih untuk tentukan," kata pemain tengah itu.

Selepas 20 perlawanan liga, Vilaverdense yang berpangkalan di Braga kini menduduki tangga ketiga Kumpulan A dengan mengumpul 39 mata dan terbaru mereka menewaskan Aroes 3-1, Sabtu lalu.

1567 dibaca
Berita Harian X