Selasa, 13 Februari 2018 | 7:37am
EDEN Hazard (kanan) cuba diasak pemain West Brom, Grzegorz Krychowiak pada aksi liga di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto REUTERS

2 gol Hazard lonjak kembali Chelsea

LONDON: Dua gol jaringan Eden Hazard membantu mengurangkan tekanan ke atas pengendali Chelsea, Antonio Conte apabila juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kembali melonjak ke kelompok empat teratas dengan kemenangan 3-0 ke atas West Brom, di laman sendiri sebentar tadi.

Kekalahan tiga gol di tangan Bournemouth dan Watford menyaksikan Conte berkemungkinan dipecat hanya selepas sembilan bulan memenangi kejuaraan EPL.

Bagaimanapun pengendali dari Itali itu, yang sebelum perlawanan mendakwa ia tindakan bodoh untuk memecatnya, diberi nafas kembali oleh Hazard dan Victor Moses yang turut menjaringkan gol.


VICTOR Moses menewaskan penjaga gol West Brom, Ben Foster untuk jaringkan gol kedua buat The Blues. - Foto REUTERS

"Ia bukan mudah apabila tewas dua perlawanan tetapi kini kami kembali," kata Hazard.

"Kami adalah Chelsea, kami adalah juara, kami perlu memberikan segala-galanya."

Chelsea melonjak ke tangga keempat dengan jurang antara Manchester United di tangga kedua dan Tottenham Hotspur kelima, hanya empat mata dalam perlumbaan menyertai pendahulu Manchester City ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Kadang kala anda tewas. Perkara paling penting ialah untuk bersatu," kata Hazard.


PENYERANG Chelsea, Olivier Giroud (tengah) dikawal ketat dua pemain pertahanan West Brom dalam saingan liga di Stamford Bridge, sebentar tadi. - Foto AFP

Di kelompok bawah liga, kekalahan ketiga berturut-turut memberi tamparan hebat kepada peluang West Brom menyelamatkan diri daripada tersingkir apabila ketinggalan tujuh mata di bawah garis selamat tatkala hanya 11 perlawanan berbaki.

"Ia amat sukar, anda lihat keputusan beberapa perlawanan tidak menyebelahi anda ketinggalan jauh," kata penjaga gol West Brom Ben Foster.

Olivier Giroud yang membuat penampilan pertama di Stamford Bridge mencetus gol pertama Chelsea yang disempurnakan Hazard pada minit ke-25 untuk gol ke-14 dirinya musim ini.


PEMAIN tengah Chelsea, Cesc Fabregas (kanan) bersaing dapatkan bola dengan pemain West Brom, Claudio Yacob. - Foto AFP

Moses kemudian melebarkan kedudukan pada minit ke-63 sebelum Hazard melengkapkan kemenangan pada minit ke-71.

Kemenangan itu bakal meningkatkan keyakinan Chelsea yang akan berdepan cabaran lebih sukar selepas kunjungan Hull City untuk saingan Piala FA Jumaat ini.

Ia bermula dengan kunjungan Barcelona ke Stamford Bridge bagi saingan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara dalam tempoh lapan hari, sebelum dua perlawanan EPL di tempat lawan bertemu Manchester United dan City. - AFP

1682 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »