Selasa, 13 Februari 2018 | 12:31pm
KESERASIAN ditunjukkan barisan pemain FELDA United ketika bertemu Pulau Pinang dipuji pengendalinya, B Sathianathan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Serasi rahsia kemenangan FELDA

MARAN: Pengendali FELDA United, B Sathianathan memuji keserasian ditunjukkan barisan pemainnya ketika menewaskan Pulau Pinang 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, malam tadi.

Katanya, segala perancangan untuk mencari gol awal membuahkan hasil apabila gandingan pemain import, Gilberto Valdenesio Fortunato dan Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya menguji benteng pertahanan lawan sejak awal permainan.

"Walaupun kita hanya memasuki perlawanan ketiga bagi saingan musim ini, saya sudah nampak ada keserasian antara pemain lama dan baharu. Ini sangat penting bagi memastikan pasukan FELDA United terus memperoleh keputusan baik, seperti malam ini.

"Corak permainan Gilberto juga memuaskan. Begitu juga dengan pemain lain yang tampil dengan aksi baik. Kita berjaya mengawal permainan pada babak pertama dan mendapat dua gol sebelum satu lagi (gol) kira-kira lima minit sebelum perlawanan tamat yang dijaringkan Christie Jayaseelan," katanya.

Tiga gol FELDA United dalam perlawanan semalam diperoleh menerusi jaringan Gilberto Valdenesio Fortunato pada minit ke-11 dan 20 serta Christie Jayaseelan pada minit ke-85.

Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, prestasi pemain di bahagian pertahanan diketuai Muhammad Shukor Adan juga memuaskan apabila kerap berjaya mengekang asakan pasukan Pulau Pinang yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan.

Katanya, pemain perlu mengekalkan momentum sedia ada bagi memperkemaskan lagi persefahaman antara mereka menjelang saingan akan datang.

"Saya masih berharap Thiago Augusto Fernandes yang mengalami kecederaan baru-baru ini segera pulih. Malam ini (malam tadi) saya turunkan juga dia pada minit ke-80 bagi melihat tahap kecergasan dia setakat ini.

"Nampaknya dia masih perlukan masa untuk pulih. Saya harap dia dapat segera kembali bersama rakan sepasukan lain untuk memperkuatkan lagi FELDA United," katanya.

465 dibaca
Berita Harian X