Rabu, 14 Februari 2018 | 12:18pm
PEMAIN TCFC, Mohd Rahizi Mohd Rasib (kiri) meledak dua gol ketika bertemu Jerantut FA pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto Ghazali Kori

Piala FA: Terengganu City tak gerun TRW

KUALA TERENGGANU: Selepas melepasi pusingan pertama, Terengganu City FC (TCFC) berdepan ujian lebih getir apabila juara musim 2012 dan 2013, Kelantan menanti mereka pada pusingan kedua Piala FA.

Pengendali TCFC, Md Noor Md Derus mengakui pasukannya jauh berbeza jika mahu dibandingkan dengan skuad The Red Warriors (TRW) yang juga antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Super.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pasukannya akan sedaya upaya memberikan persembahan terbaik menentang jiran tetangga dari Liga Super itu.

"Pasukan saya akan bertemu Kelantan dalam pusingan kedua nanti dan sedia maklum mereka ialah sebuah pasukan yang kuat, namun kita akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti.

"Kita sedar bukan mudah untuk pasukan saya berdepan berpengalaman seperti Kelantan, tapi kami akan sedaya upaya memberi tentangan kepada mereka," katanya yang ditemui selepas perlawanan.


PEMAIN Jerantut FA, Afiq Nasharuddin (kanan) cuba mengawal bola sambil dikawal pemain pemain TCFC, Adhar Hussin. - Foto Ghazali Kori

TCFC mara ke pusingan kedua selepas bangkit mengetepikan Jerantut FA 2-1 dalam aksi pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Jerantut FA yang bermain dalam Liga Bolasepak Rakyat (LBR) membuka jaringan menerusi  rembatan Mohd Arfiyahsah Abdul Jaafar pada minit ke-64.

Begitupun, TCFC yang bermain di Liga FAM bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua jaringan Mohd Rahizi Mohd Rasib pada minit ke-67 dan ke-85.

2710 dibaca
Berita Harian X