Rabu, 14 Februari 2018 | 12:56pm
JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan memanggil pemain senior, muda dan naturalisasi sebagai ramuan dalam membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Cheng Hoe ada ramuan bentuk skuad kebangsaan

KUALA LUMPUR: Adunan pemain senior, muda dan naturalisasi bakal menjadi ramuan jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap.

Malah, beberapa nama daripada tiga gabungan itu sudah berada dalam perancangannya untuk dipanggil apabila membuat persiapan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, pada 27 Mac ini.

Jurulatih Harimau Malaya itu berkata selepas menilai persembahan pemain muda pada Kejohanan Bawah 23 AFC di China bulan lalu selain aksi sepanjang tiga perlawanan liga setakat ini, beliau sudah mendapat gambaran awal mengenai pasukan bakal dibentuk.

"Persembahan di China membuktikan kita mempunyai ramai pemain muda yang boleh dipertaruhkan untuk skuad kebangsaan pada masa depan. Sudah pasti akan ada beberapa pemain yang bakal saya serapkan ke skuad utama.

"Pada masa sama, saya tidak akan menutup pintu kepada pemain senior kerana pengalaman mereka juga sangat berguna untuk pasukan kebangsaan.

"Pandangan yang mengatakan sudah sampai masanya rombakan besar-besaran dilakukan ke atas skuad kebangsaan dengan menggunakan sepenuhnya tenaga muda tidak boleh diguna pakai. Kita tetap perlukan pemain senior," kata Cheng Hoe.

Jurulatih itu juga menegaskan beliau akan turut membuka pintu untuk lebih ramai pemain naturalisasi menyarung jersi Harimau Malaya.

"Kalau pemain naturalisasi memang bagus dan layak mewakili negara, mengapa perlu kita sisih mereka, apatah lagi jika mereka memiliki pertalian darah dengan negara kita.

"Tanggapan mereka tidak memiliki 'jiwa' Malaysia kerana tidak dilahirkan atau dibesarkan di sini, tidak relevan kerana setiap pemain memiliki semangat untuk menang walau pasukan mana juga diwakili.

"Buktinya, beberapa pemain naturalisasi seperti Matthew Davies (Pahang), Darren Lok (Johor Darul Ta'zim), Brendan Gan (Perak) yang diberi peluang mewakili Malaysia sudah memberi komitmen 100 peratus.

"Bagi saya, untuk berjaya, kita perlu sentiasa berfikiran positif. Sebagai jurulatih, berdasarkan situasi sekarang, saya melihat gabungan pemain muda, senior dan naturalisasi adalah adunan terbaik untuk pasukan kebangsaan kita," kata Cheng Hoe lagi.

1687 dibaca
Berita Harian X