Isnin, 5 March 2018 | 11:22am
FADERIN jaring gol kedua MU. -Foto Nazri Abu Bakar
FADERIN jaring gol kedua MU. -Foto Nazri Abu Bakar

MU sedia berdepan mana-mana pasukan

MELAKA: Selepas membenam skuad Liga Sosial dari Selangor, Southern FC 7-0 pada pusingan kedua Piala FA, Melaka United (MU) melaungkan kesediaan berdepan mana-mana pasukan pada saingan pusingan ketiga nanti.

Jurulatih MU, Eduardo Almeida, berkata tanpa mengira pasukan lawan yang bakal ditentang pada pusingan itu, skuad berkenaan kini bersedia melepasi halangan untuk mara ke suku akhir.

Katanya, kemenangan besar ke atas lawan menjadi rentak positif yang boleh diteruskan pada saingan kalah mati, sambil mahu rentak cemerlang itu berjaya dikekalkan.

"Pada perlawanan berdepan skuad terbabit, kami membentuk formasi baharu yang berjaya ditampilkan dengan baik, termasuk barisan pemain gantian.

"Kami turut merencana corak sedemikian dalam perlawanan sebelum ini, namun kurang memberangsangkan tetapi kali ini kemajuan berjaya diterjemahkan," katanya.

Beliau berkata, MU amat menghormati kesungguhan pasukan lawan menerusi corak permainan pantas yang cuba memberi tekanan ke atas skuad Hang Tuah.

Bagaimanapun, secara jujur beliau mengakui ada kelemahan dan kelebihan masing-masing, namun aksi bermain sebagai sebuah pasukan adalah faktor utama kejayaan skuad itu.

Gol MU dicetak masing-masing  menerusi R Gopinathan, Faderin Kadir, Azmi Muslim, Fauzi Roslan, Nurshamil Abd Ghani dan dua gol pemain import kelahiran Belarus, Yahor Budovich.

Berita Harian X