X
Selasa, 6 March 2018 | 1:37pm
VAN Marwijk tetap yakin kemampuan penyerang veteran Tim Cahill. - FOTO AGENSI
VAN Marwijk tetap yakin kemampuan penyerang veteran Tim Cahill. - FOTO AGENSI

Van Marwijk senarai 'kuda tua'

SYDNEY: Jurulatih baru Socceroos, Bert van Marwijk menamakan skuad pertamanya sejak memegang jawatan dengan Tim Cahill, 38, turut tersenarai selepas pengendali Belanda dan pembantunya memantau lebih 100 pemain.

Van Marwijk dilantik hujung Januari lalu berikutan peletakan jawatan Ange Postecoglou dan dengan Piala Dunia semakin hampir, beliau meneliti kemampuan pemain Australia yang bermain di liga domestik, Eropah serta Asia.

Bulan ini, mereka akan mengharungi perlawanan persahabatan menentang Norway di Oslo serta Colombia di London dan beliau menyenaraikan 29 pemain yang akan disenarai pendek minggu depan.

Cahill yang muncul penjaring terbanyak negaranya di peringkat antarabangsa dengan 50 gol, meninggalkan Liga-A Januari lalu untuk menyertai kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Millwall dalam usaha memburu aksi lebih kerap untuk membolehkannya bermain di Piala Dunia, Russia.

Dia jarang diturunkan kelab London itu tetapi van Marwijk tetap menyenaraikannya bersama-sama pemain Aston Villa, Mile Jedinak, pemain Hull City, Jackson Irvine, penjaga gol Brighton, Mathew Ryan dan pemain Celtic, Tom Rogic.

Penjaga gawang Feyenoord, Brad Jones turut disenaraikan.

"Sejak pelantikan saya di Socceroos, kakitangan serta pembantu saya menjalankan tugas memantau lebih 100 pemain Australia bukan saja di Liga-A tetapi juga Eropah dan Asia," kata van Marwijk.

"Kami gembira untuk menyenaraikan 29 pemain untuk aksi persahabatan menentang Norway serta Colombia dan kami akan mengurangkan jumlah itu minggu depan.

"Perlawanan menentang Norway dan Colombia memberikan peluang baik untuk memilih pemain yang benar-benar layak untuk ke Russia."

Australia akan bertemu Norway pada 23 Mac manakala Colombia akan menguji mereka empat hari selepas itu.

Senarai pemain - Aziz Behich (Bursaspor/TUR), Joshua Brillante (Sydney FC/AUS), Tim Cahill (Millwall/ENG), Milos Degenek (Yokohama Marinos/JPN), Alex Gersbach (Racing Club de Lens/FRA), Jackson Irvine (Hull City/ENG), Mile Jedinak (Aston Villa/ENG), Brad Jones (Feyenoord/NED), Tomi Juric (FC Luzern/SWI), Matthew Jurman (Suwon Bluewings/KOR), Robbie Kruse (VfL Bochum/GER), Mitchell Langerak (Nagoya Grampus/JPN), Mathew Leckie (Hertha BSC/GER), Massimo Luongo (Queens Park Rangers/ENG), Jamie Maclaren (Hibernian/SCO), James Meredith (Millwall/ENG), Mark Milligan (Al Ahli/KSA), Aaron Mooy (Huddersfield Town/ENG, Andrew Nabbout (Urawa Red Diamonds/JPN), Dimitri Petratos (Newcastle Jets/AUS), Josh Risdon (Western Sydney Wanderers/AUS), Tom Rogic (Celtic/SCO), Nikita Rukavytsya (Maccabi Haifa/ISR), Mathew Ryan (Brighton/ENG), Trent Sainsbury (Grasshopper Club Zurich/SWI), Aleksandar Susnjar (FK Mlada Boleslav/CZE), James Troisi (Melbourne Victory/AUS), Daniel Vukovic (Genk/BEL), Bailey Wright (Bristol City/ENG).

Berita Harian X