Selasa, 13 March 2018 | 1:35am
PEMAIN Melaka United (MU), Khair Muhammad Jefri Jones (tengah) menghalang kemaraan pemain PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (dua dari kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat Krubong. - Foto asul Azli Samad

Kesilapan 'budak sekolah' punca tewas

MELAKAa: Kesilapan mudah menjadi punca PKNP FC tewas kepada Melaka United (MU) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.      

Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, mengakui kecewa dengan kesilapan mudah itu sehingga Yahor Zubovich berjaya meledak dua gol yang memastikan kekalahan pasukan.   

Katanya, gol pertama MU dihasilkan menerusi kesilapan import baharu yang dibawa masuk untuk memperkuatkan barisan pertahanan, sebaliknya beraksi seperti 'budak sekolah' sehingga Yahor Zubovich menolak mudah jaringan buat tuan rumah pada babak pertama.  

"Dua gol jaringan Zubovich diakui berpunca daripada kesilapan barisan benteng yang seharusnya tidak berlaku.   

"Kami menguasai permainan pada 20 minit pertama, namun kegagalan barisan pertahanan menutup ruang dan ketumpulan jentera serangan meletakkan gawang dibolosi dan gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.   

"Gerakan serangan pasukan agak baik ketika Piala FA sebelum ini, namun sentuhan 'sejuk' barisan depan kali ini agak ketara dan ia perlu segera diatasi," katanya ditemui selepas perlawanan.   

Abu Bakar berkata, dalam perlawanan itu anak buahnya cuba bangkit pada babak kedua, namun gol kedua lawan pada penghujung babak kedua meletakkan pasukannya akur tewas dalam perlawanan terbabit.  

"satu 'Post mortem' (bedah siasat) akan dilakukan bagi memastikan kesilapan mudah di barisan pertahanan dan ketumpulan jentera penyudah diperbaiki menjelang aksi saingan selepas ini," katanya yang mengakui terkejut melihat MU memiliki barisan berbeza, berbanding dua pertemuan persahabatan sebelum ini dengan Zubovich kian konsisten menemui sentuhan jaringan.

Berita Harian X