Jumaat, 16 March 2018 | 11:10am
POCHETTINO yakin Spurs mampu capai trofi dengan cara yang layak dimiliki. FOTO/AFP

Spurs tak terdesak 'beli' trofi

LONDON: Mauricio Pochettino percaya skuad kendaliannya perlu berbangga dengan pencapaian yang sudah dilakar Tottenham sekali pun kejayaan yang diburu tidak berjaya dimiliki kerana mereka tidak 'membeli' trofi seperti pasukan lain.

Anak buah Pochettino dijadual membuat kunjungan ke Swansea City, esok untuk memburu tempat di pusingan empat terbaik Piala FA.

Spurs mempunyai rekod baik di laman sendiri dan di luar negara sejak dikendalikan Pochettino tiga musim lalu tetapi mereka berpotensi untuk sekali lagi menamatkan saingan tanpa trofi dengan satu-satunya buruan yang masih realistik ialah Piala FA.

Tetapi Pochettino menolak pendapat yang mengatakan Tottenham akan sekali lagi dilabel gagal jika mereka tidak berjaya memenangi sebarang trofi musim ini.

"Orang yang memahami bola sepak cukup faham yang projek ini adalah projek yang amat mengujakan kerana kami bukannya kelab yang pergi membeli trofi, kami adalah kelab yang layak untuk mendapat trofi," kata pengendali dari Argentina itu.

"Bagi saya mengapa orang menunjukkan rasa kecewa adalah kerana mereka fikir kami layak mendapat trofi yang kami gagal untuk menangi."

Sekali pun terus buntu menambah koleksi trofi, Tottenham jelas meningkatkan kualiti mereka apabila sering menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan empat teratas.

Begitupun, wujud persoalan selama mana mereka boleh mengekalkan pemain-pemain muda berkualiti yang digilap oleh Pochettino jika kejayaan yang diburu terus gagal untuk diraih.

Menambah perit, pemburuan trofi Piala FA Spurs diganggu dengan ketiadaan penyerang berkualiti, Harry Kane yang dijangka akan tersisih selama lebih sebulan akibat kecederaan buku lali. - AFP

642 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »