Sabtu, 17 March 2018 | 12:56pm
HUGHES harap pemainnya dapat tingkatkan lagi mutu permainan. -Foto Agensi

Hughes cabar pemain Southampton

LONDON: Pengurus baharu Southampton, Mark Hughes mencabar skuad kendaliannya meningkatkan tahap permainan bagi menjamin tempat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) serta berpeluang menjulang trofi Piala FA.

Pengendali dari Wales berusia 54 tahun itu yang dilantik pengurus sehingga penghujung musim ini bagi menggantikan Mauricio Pellegrino yang dipecat berkata, pasukan itu tidak mempunyai masa untuk bersenang lenang.

Pernah beraksi bersama Southampton, Hughes diberi tugas sukar untuk mengekalkan kelab itu yang ketika ini menghuni tangga ke-17 dalam kancah elit berkenaan selain menjuarai Piala FA.

Tugas pertamanya adalah menentang Wigan pada aksi suku akhir Piala FA di tempat lawan, awal pagi Isnin ini dan dalam kempen liga, dia hanya mempunyai lapan perlawanan bagi menyempurnakan tugas tetapi ia termasuk pertemuan dengan Arsenal, Chelsea serta Manchester City.

"Kadang kala kamu perlu menyakitkan seseorang dan ketika ini kami berada dalam situasi itu," kata Hughes. 

"Apabila kami mempunyai lebih banyak masa, kamu boleh mencipta hubungan tetapi ia memakan masa.

"Kami tidak mempunyai masa untuk menunggu. Kami mempunyai lapan minggu dan kami perlu menggunakannya sebaik mungkin. Jika kami mengecewakan seseorang sepanjang tempoh itu, mereka perlu menerimanya."

Hughes berkata, wujud 'tenaga di dalam kelab itu' dan Southampton perlu mengubahnya kepada kemenangan.

"Saya berkerja dengan cara yang tertentu dengan tahap intensiti latihan yang saya mahukan. Saya melihatnya sejak dua hari lalu, tahap yang saya mahu saya lihat. 

"Kami memberikan tumpuan yang penuh sehingga penghujung musim dan kami mahu kekal di EPL dan memenangi Piala FA," katanya. - AFP

 

327 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »