Sabtu, 17 March 2018 | 1:28pm
IRFAN (kiri) berang dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya ketika menentang Selangor. -Foto Rozainah Zakaria

'Kami hanya bermain bola 10 minit terakhir'

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salam menyifatkan anak buahnya hanya bermain bola sepak pada 10 minit terakhir ketika tewas 1-3 kepada Selangor pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Malah, jurulatih berpengalaman itu mengakui tidak menduga pasukannya tewas dengan jumlah jaringan berkenaan, apatah lagi sebelum ini skuad kendaliannya mudah meratah lawan sama 4-1 dalam saingan Liga Super.

"Saya jangkakan selepas kita menang 4-1 dengan Selangor, kami mampu melakukan sesuatu yang lebih baik, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Jelas, pemain terkejut apabila Selangor bermain seperti mana kami bermain sebelum ini dan mereka hanya bermain macam biasa dan selesa pada 10 minit terakhir saja," katanya sejurus perlawanan yang menyaksikan lawan mara ke suku akhir.

Mengulas lanjut kekalahan itu, Irfan Bakti tanpa berselindung mengakui anak buahnya gagal beraksi dengan baik selain bukan permainan sebenar mereka walaupun beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu lebih 10,000 penyokong setia.

"Pemain tidak menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, sebaliknya mereka dilihat mudah hilang bola, tiada persefahaman, tidak mengawal pemain lawan serta gagal bermain dengan baik, akibatnya kenalah.

"Gol pertama dihasilkan Selangor begitu mudah akibat kesilapan pemain, jaringan kedua sepatutnya kami yang dulu yang hasilkan jaringan tapi gagal, sebaliknya lawan yang mendapat sepakan percuma berjaya meledak jaringan kedua.

"Jaringan ketiga lawan pula terus membunuh semangat kami untuk kembali bangkit selepas ketinggalan," kata Irfan.

Dalam perlawanan berkenaan, Mohd Shahrul Aizad Zulkufli bagaimanapun meletakkan tuan rumah di depan terlebih dahulu sebelum Selangor bangkit dengan dua gol menerusi Rufino Segovia manakala satu jaringan lagi dihasilkan Evan Dimas.

Kekalahan itu juga adalah kekalahan kedua berturut-turut TFC selepas tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di gelanggang sama minggu lalu.

1301 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »