X
Isnin, 19 March 2018 | 3:34pm
MUHAMMAD Nazliazmi Mohamad Nasir. - Foto Rozainah Zakaria
MUHAMMAD Nazliazmi Mohamad Nasir. - Foto Rozainah Zakaria

Usah ghairah 'naikkan pangkat' Nazliazmi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dinasihatkan tidak terlalu ghairah 'menaikkan pangkat' pemangku ketua jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, meskipun membuka kempen kendaliannya dengan kemenangan.

Bekas jurulatih skuad The Red Giants, Datuk Khaidir Buyong berkata sukar untuk menentukan kemampuan seseorang jurulatih hanya berdasarkan kepada satu perlawanan semata-mata.

Katanya, penilaian lebih mendalam perlu dilakukan sebelum jawatan ketua jurulatih itu dapat diisi oleh individu yang tepat.

"Ketua jurulatih adalah satu tugas yang besar. Satu kemenangan dalam satu perlawanan tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur terhadap kemampuan Nazliazmi. 

"Bukan saya menidakkan kemampuan Nazliazmi, namun pada pandangan saya, dia perlu terus diuji sekurang-kurangnya dalam lima ke enam perlawanan terlebih dahulu sebelum kita boleh memikirkan untuk tindakan selanjutnya.

"Ini satu perkara yang mustahak bagi memastikan dia mampu menghasilkan keputusan yang sentiasa konsisten dan membuktikan betapa dia layak serta sudah bersedia sepenuhnya untuk memegang jawatan selaku ketua jurulatih," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kekalahan tiga kali berturut-turut dalam aksi Liga Super dan dibolosi 10 gol dalam tiga perlawanan terbabit menyaksikan jurulatihnya, P Maniam direhatkan dengan Nazliazmi mengambil alih kendalian bagi aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Terengganu di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Piala Presiden Selangor musim lalu itu tidak perlu menunggu lama untuk menjelmakan 'magis' selepas Selangor meraih kemenangan 3-1 ke atas Terengganu dan mara ke peringkat suku akhir sekali gus menunjukkan betapa dia memiliki potensi untuk menjadi ketua jurulatih.

Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan Nazliazmi bersedia untuk menjadi ketua jurulatih pasukan itu jika FAS memberi kepercayaan kepadanya untuk membimbing skuad Merah Kuning itu

Bagaimanapun, dia enggan untuk bangga diri, sebaliknya mengakui masih banyak yang perlu dipelajari jika mahu melangkah lebih jauh dan menduduki 'kerusi panas' itu dalam masa terdekat.

Nazliazmi juga menegaskan tidak terlintas di fikirannya untuk menjawat jawatan itu dalam masa terdekat memandangkan masih ramai lagi jurulatih berpengalaman mampu menggalas tugas berat membimbing pasukan yang penuh dengan sejarah dan rekod cemerlang itu.

Berita Harian X