Selasa, 20 March 2018 | 9:21am
JURULATIH Sampdoria Marco Giampaolo. - Foto AFP

'Usah jual pemain lagi'

MILAN: Jurulatih Sampdoria Marco Giampaolo, berang apabila melihat pasukannya bolos sembilan gol untuk tewas dua perlawanan dan berkata kelab akan kekal berada di pertengahan liga jika terus menjual pemain utama mereka.

Komen Giampaolo selari dengan keluhan penyokong banyak kelab bersaiz sederhana di seluruh Eropah di mana prestasi terbaik pada sesuatu musim bermakna mereka perlu bekerja keras pada musim berikutnya memandangkan pemain utama mereka disambar kelab ternama.

Giampaolo membawa kelab berpangkalan di Genoa itu ke tangga ke-10 Serie A musim lalu, iaitu tahun pertama kendaliannya dan mereka memulakan kempen musim ini dengan baik terutamanya di laman sendiri apabila menang enam perlawanan pertama liga.

Mereka menduduki tangga keenam selama lebih 20 pusingan perlawanan dan hampir menempah tiket ke Liga Juara-Juara namun kini jatuh ke tangga kelapan selepas tewas 1-4 kepada pasukan bawahan Crotone dan kemudiannya 0-5 kepada Inter Milan semalam.

"Sudah tiba masanya anda perlu meningkatkan kualiti," kata Giampaolo.

"Anda perlu berubah daripada seorang remaja kepada lelaki, jika tidak anda akan terawang-awang.

"Apa yang saya perhatikan, tiada pengiraan di mana anda boleh menjual pemain dan meningkatkan kedudukan anda di liga, ia tidak wujud.

"Sesebuah pasukan yang mendapat 40 mata dan menjual pemain terbaik, pada tahun hadapan mereka mendapat 48 mata dan menjual pemain terbaik mereka. Berapa banyak mata yang diperlukan selepas itu? Tujuh puluh?"

Pemain yang meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini termasuk bek tengah Milan Skriniar, yang dijual keInter Milan, serta penyerang Luis Muriel, yang dijual ke Sevilla, dan Patrick Schick, yang dipinjamkan ke AS Roma.

Kapten Inter Milan  Mauro Icardi, yang menjaringkan empat gol semalam, juga antara pemain yang dibenarkan meninggalkan Sampdoria beberapa tahun lalu. - Reuters

Berita Harian X