Khamis, 22 March 2018 | 5:11pm
PRESIDEN KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah (tengah) mahu Marcote (kiri) menyerahkan laporan lengkap berkaitan apa yang berlaku dalam pasukan Helang Merah. - Foto Amran Hamid

KFA mahu laporan lengkap Marcote

JITRA: Bukan sahaja penyokong tetapi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) juga bimbang dengan prestasi terumbang ambing skuad kendalian Ramon Marcote.

Justeru, bagi memastikan skuad Helang Merah tidak terus hanyut, KFA akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi merungkai segala kemelut yang melanda Helang Merah. 

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus, pagi tadi supaya diadakan segera perjumpaan selewat-lewatnya minggu depan bagi membincangkan masalah yang membelenggu pasukan itu.   

"Presiden KFA (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) sudah meminta Marcote memberi laporan lengkap berkaitan apa yang berlaku dalam pasukan.   

"Jadi, Jawatankuasa Eksekutif KFA akan nilai laporan yang diberikan itu sebelum mengambil langkah terbaik bagi mengatasi masalah yang berlaku," katanya selepas Program Perasmian Pam Air Desa Keda Wang Tepus, di sini hari ini.  

Terdahulu, prestasi ala yo-yo skuad Marcote termasuk gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas tewas kepada Pahang 0-1 dalam pusingan ketiga minggu lalu menyaksikan penyokong pasukan naik berang.

Mereka mendesak supaya KFA mengambil tindakan dengan merehatkan Marcote dan penyerang, Pablo Pallares yang gagal menunjukkan bisa selaku penyerang.

Bagaimanapun, Aminuddin berharap penyokong bersabar sehingga kata putus mengenai kemelut itu diputuskan KFA.

"Sekiranya tindakan drastik perlu diambil sebagai jalan terbaik untuk memperbaiki prestasi pasukan, kita tidak teragak-agak akan berbuat demikian," katanya.

Berita Harian X