Sabtu, 31 March 2018 | 1:08am
CITY punyai kelebihan 16 mata di hadapan pesaing terdekat United. -Foto Agensi

'City tidak boleh digugat lagi'

KOLUM APA KATA EPL

Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali semula selepas berhenti rehat dua minggu bagi memberi laluan aksi persahabatan antarabangsa. Minggu ini, tumpuan terarah kepada pertemuan antara Chelsea dan Tottenham Hotspur di London.

Namun sebelum itu, mari kita lihat dulu, kedudukan liga selepas 30 perlawanan. Manchester City jelas terus kekal di depan dengan kelebihan 16 mata ke atas pesaing terdekat dan jiran tetangganya, Manchester United.

Liverpool pula di tangga ketiga dengan ketinggalan 18 mata di belakang City dan dua mata di belakang Red Devils. Namun skuad bimbingan Jurgen Klopp ini sudah beraksi 31 kali berbanding dua seterunya itu.

Tottenham menduduki tangga keempat yang juga slot terakhir ke Liga Juara-Juara dengan himpunan 61 mata, ketinggalan 20 mata di belakang City dan dua mata di belakang Liverpool.

Dengan perlawanan berbaki antara tujuh dan lapan lagi, City kelihatan sudah tidak boleh digugat lagi. Persoalan yang tinggal, bilakah skuad bimbingan Pep Guardiola ini dinobat sebagai juara?

Lapan perlawanan menjanjikan 24 mata untuk City dan United. Namun The Citizens boleh merangkul kejuaraan pada minggu depan seandainya mampu memenangi dua aksi terakhir termasuk bertemu United.

Justeru, aksi bertemu Everton di Goodison Park malam ini, harus dilunaskan dengan tiga mata, sebelum mereka menyambut kunjungan anak buah Jose Mourinho di Etihad pada 8 April untuk merangkul kejuaraan liga.

CHELSEA perlu menang untuk terus hidupkan peluang ke Liga Juara-Juara. -Foto Agensi

Mampukah City melakukannya malam ini tatkala Everton sendiri memerlukan semua baki mata yang ada untuk mencerahkan peluang beraksi saingan Liga Europa musim depan? Ini yang menarik untuk kita lihat.

Melihat statistik lalu, Everton memenangi enam daripada sembilan pertemuan dengan City bagi semua pertandingan di laman sendiri. Pada aksi terakhir 15 Januari 2017, pasukan itu menang 4-0.

Dalam pada itu, pertemuan antara dua jiran tetangga London - Chelsea dan Tottenham di Stamford Bridge malam esok, harus mencuri tumpuan tatkala kedua-dua pasukan mendambakan kemenangan.

Buat skuad The Blues bimbingan Antonio Conte, mereka perlu tiga mata untuk menghidupkan peluang memburu tempat keempat ke Liga Juara-Juara. Ketika ini, juara bertahan itu tercicir jauh di belakang City selain lima mata di belakang Spurs.

Spurs pula memerlukan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan di kelompok empat teratas. Jika tercicir, mereka sudah pasti berdepan kesukaran merapati Liverpool yang kelihatannya begitu berselera untuk mengejar United.

Mengimbas 25 pertemuan lalu, Spurs tidak pernah menang di Stamford Bridge dalam saingan EPL. Pada aksi terakhir di situ 26 November lalu, mereka tewas 2-1 manakala di Stadium Wembley, 20 Ogos lalu, skuad Mauricio Pochettino dikejutkan 1-2.

SPURS tidak boleh keciciran mata jika mahu kukuh kedudukan di kelompok empat teratas. -Foto Agensi

Mampukah Tottenham menamatkan kemarau kemenangan di laman jirannya itu atau mereka akan terus gigit jari bagi aksi jiran tetangga ini? Inilah juga yang kita saksikan tatkala saingan berbaki lapan perlawanan.

Sementara itu, United dijangka tiada masalah mengutip mata penuh apabila melayan kunjungan Swansea malam ini. Begitu juga Liverpool yang bakal berdepan Crystal Palace, jam 7.30 malam ini. Selamat menonton.

RAMALAN MINGGU INI

Crystal Palace 1 Liverpool 4

West Brom 1 Burnley 1

Man United 3 Swansea 0

Brighton 2 Leicester 2

Newcastle 2 Huddersfield 1

Watford 2 Bournemouth 2

West Ham 1 Southampton 2

Everton 1 Man City 2

Arsenal 3 Stoke City 1

Chelsea 1 Tottenham 1

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

Berita Harian X