Sabtu, 31 March 2018 | 11:58pm
ANTARA wakil dari kelab gabungan Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) menurunkan tandatangan pada kain rentang 'We Want Marcote' dan 'Stay For Head Coach' berhubung keputusan merehatkan ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) selepas sidang media. - Foto BERNAMA

LMFA minta KFA kaji semula keputusan rehat Marcote

ALOR SETAR: Persatuan Penyokong Lang Merah (LMFA) selaku antara kelab penyokong utama Kedah, meminta keputusan merehatkan ketua jurulatih, Ramon Marcote dikaji semula kerana mendakwa keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa.

Timbalan pengerusinya, Mohd Syakrunaim Ismail berkata, keputusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu dilihat tidak adil buat Marcote kerana skuad Helang Merah baru bermain dalam lima perlawanan Liga Super.

"Kami minta pihak pengurusan KFA mendengar suara kami juga yang mempunyai 21 kelab gabungan di seluruh negara. Jadi, kami minta supaya keputusan itu dikaji semula demi masa depan bola sepak negeri Kedah.

"Jika dilihat ia adalah keputusan yang terburu-buru, sepatutnya berilah peluang kepada Marcote untuk membuktikan kemampuan beliau sekurang-kurangnya habis pusingan pertama pada Mei ini," katanya dalam sidang media diadakan di sini, hari ini.

LMFA juga meminta supaya Marcote tidak berkecil hati dan membuat keputusan untuk meninggalkan Kedah kerana peminat masih menagih sentuhan beliau.

Terdahulu kira-kira 100 wakil kelab gabungan penyokong Kedah hadir untuk sama-sama menandatangani kain rentang berbunyi `We Want Marcote' dan `Stay for Head Coach' sebagai tanda sokongan kepada jurulatih berkenaan.

Antara kelab gabungan yang hadir ialah Lang Merah Fans Club, Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah (KEPAK), Geng Gila Bola, Lang Merang Lembah Klang, Lubuk Manjung Fans Club dan Red Eagle Club.

Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang juga Menteri Besar, hari ini berkata, keputusan merehatkan Marcote dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

Beliau berharap semua pihak dapat memberi kepercayaan kepada pengurusan KFA untuk melakukan sedikit rombakan bagi membantu menaikkan semula pasukan Lang Merah.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Yusdi Madeinus Mohamad Yunus berkata Mohd Nidzam Adzha dilantik untuk memangku jawatan ketua jurulatih pasukan itu.

Katanya, Marcote kini diberikan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA bagi memantau projek pembangunan bola sepak sedia ada serta merangka persediaan skuad Hijau Kuning bagi tempoh jangka panjang.

-- BERNAMA

Berita Harian X