Jumaat, 6 April 2018 | 9:05am
GATTUSO bersama Milan tiga musim lagi hingga 2021. FOTO/AFP

Milan sambung kontrak Gattuso

MILAN: AC Milan menyambung kontrak Gennaro Gattuso untuk tiga musim lagi hingga 2021 selepas bekas pemain tengah mereka itu menampilkan perubahan dramatik bersama bekas juara tujuh kali Eropah itu.

Gattuso tidak pernah melatih pasukan Serie A sebelum naik pangkat daripada pasukan remaja pada November untuk menggantikan Vincenzo Montella, yang dipecat selepas keputusan buruk.

Dia secara rasmi dilantik sehingga penghujung musim tetapi kini akan berkhidmat sehingga penamat kempen 2020/21.

Milan membuat kemunculan perlahan di bawah Gattuso, menang hanya satu daripada lima perlawanan liga namun menunjukkan peningkatan sejak tahun baharu dengan menang lapan daripada 11 perlawanan, memberikan mereka kedudukan keenam liga.

Mereka juga mara ke final Coppa Italia dan akan berdepan Juventus.

"Pengurusan mengambil keputusan untuk memperbaharui kontrak Gattuso kerana kerja kerasnya sebelum tamat musim ini," kata Milan dalam satu kenyataan.

"Ini adalah tanda yang penting untuk menghargai keharmonian antara pengurusan kelab dan jurulatih."

Gattuso mengucapkan terima kasih kepada pemain kerana usaha mereka.

"Kami harap untuk terus melakukan apa yang kami sudah lakukan dalam empat bulan pertama. Saya harap dapat melakukan perkara yang betul untuk kembali membawa AC Milan ke tempat ia sepatutnya berada," katanya. - REUTERS

Berita Harian X