Jumaat, 6 April 2018 | 3:10pm
SESI latihan pasukan Pahang, untuk perlawanan di Stadium Darul Makmur. FOTO/FARIZUL HAFIZ AWANG

'Tok Gajah pasti menang malam ini'

KUANTAN: Pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih tidak rela dikecewakan Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, malam ini. 

Pemain berumur 23 tahun itu yang pulih daripada kecederaan lutut kanan sedia untuk memastikan kemenangan buat skuad Tok Gajah.  

"Kami sudah sedia untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Pahang sebagai bekalan selesa pada aksi suku akhir kedua apabila bertandang ke Larkin nanti.  

"Tetapi perlawanan pertama malam ini memerlukan kami kekal fokus dan memanfaatkan segala peluang yang ada, sekali gus memberi tekanan kepada lawan.  

"Fokus utama adalah mengikut percaturan jurulatih (Dollah Salleh) terutama tidak memberi ruang lawan menguasai perlawanan," kata pemain kelahiran FELDA Jengka 21, Pahang itu. 

 

Nor Azam berkata, pencapaian konsisten dipersembahkan Harimau Selatan dalam saingan Liga Super tidak akan mengganggu tumpuan skuad itu untuk mencatat kemenangan selesa.  

Justeru, katanya, kemenangan adalah matlamat utama dan mengharapkan segala perancangan menjadi.  

"Sokongan padu penyokong Pahang juga akan menambah lagi semangat kepada kami untuk menghadiahkan kemenangan," katanya.  

Malam ini, dijangkakan 28,000 penyokong memenuhi Stadium Darul Makmur menyaksikan perlawanan itu untuk menempah slot separuh akhir piala berprestij itu.

Berita Harian X