Jumaat, 13 April 2018 | 11:56am
PEMAIN JDT pasti mahu bangkit selepas tewas pada aksi Piala AFC. FOTO/FAIL

JDT mahu lepaskan geram kepada PKNS

JOHOR BAHRU: Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) mahu melupakan detik hitam kekalahan 0-4 kepada Persija Jakarta dalam saingan Piala AFC, dengan bangkit menentang PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Langkah pengendalinya, Raul Longhi menggilirkan pemain dilihat keputusan tepat berikutan JDT berdepan saingan berbeza bulan ini dengan aksi suku akhir Piala FA berdepan Pahang pada 20 April, diikuti Song Lam Nghe An FC dari Vietnam dalam saingan terakhir Kumpulan H Piala AFC (24 April).

Mungkin ada penyokong yang kurang berpuas hati dengan tindakan Longhi itu yang menyebabkan skuad Harimau Selatan tewas kepada kelab Indonesia berkenaan, namun mereka harus melihat dalam tempoh masa jangka panjang tatkala pasukan itu perlu mengharungi tiga perlawanan yang getir.

JDT akan melayani kunjungan skuad PKNS FC kendalian Datuk K Rajagobal dan pastinya kemenangan amat dicari untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga ketika Pahang turut mengintai peluang untuk memintas juara liga empat musim berturut-turut itu.

Menurut Longhi, kekalahan kepada Persija Jakarta sudah menjadi sejarah, sebaliknya mahu anak buahnya memberi fokus pada aksi menentang PKNS FC dalam saingan liga dan berdepan Pahang pada aksi Piala FA.

"Kini kami hanya perlu fokus kepada perlawanan bertemu PKNS dan kemudian bertemu Pahang dalam Piala FA. Ini dua perlawanan penting.

"Kami kena konsisten untuk memastikan kemenangan mampu dicapai untuk kekal sebagai pendahulu liga dan melangkah ke separuh akhir Piala FA, malah kami yakin pasukan akan lebih ampuh bulan depan apabila pemain import baharu akan menyertai JDT," katanya.

Sudah pasti Longhi akan menurunkan barisan terkuat dengan kelibat Marcos Antonio dan Fadhli Shas kembali mengemudi benteng pertahanan, manakala Corbin Ong  mengukuhkan posisi bek kiri tetapi kelibat S Kunanlan yang masih dibelenggu kecederaan belum pasti dapat diturunkan.

Di posisi tengah kelibat kapten Safiq Rahim akan menggalas tugas selaku`Jeneral' bagi merencana strategi sambil di bantu Natxo Insa yang memiliki gaya permainan tersendiri dan mampu mengelirukan barisan tengah lawan dan Hariss Harun akan bertindak selaku pemain tengah bertahan.

Tanpa kelibat Jorge Pereyra Diaz yang 'cabut lari' dan enggan meneruskan sumbangan kepada JDT manakala Luciano Figeuroa yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan berpanjangan, ketajaman serangan skuad Harimau Selatan tampak kurang berbisa.

Namun, pemain seperti Safawi Rasid dan Ahmad Hazwan Bakri harus membuktikan betapa penyerang tempatan juga memiliki sentuhan berbisa seandainya diturunkan menentang PKNS FC dan kedua-dua pemain itu harus bijak untuk merobek gawang lawan dengan bantuan Gonzalo Cabrera.

Apapun, aksi menentang PKNS FC itu perlu dijadikan detik kebangkitan semula skuad Harimau Selatan dan kemenangan ke atas skuad Semut Merah mampu melonjak kembali moral setiap pemain untuk mengharungi cabaran seterusnya.

3795 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »