Ahad, 15 April 2018 | 4:28pm
PERPINDAHAN bekas pemain Swope Park Rangers, Wan Kuzain Wan Kamal (kiri) ke Sporting KC dengan kontrak selaku pemain tempatan sehingga 2020. - Foto Swope Park Rangers

Wan Kuzain intai EPL

KUALA LUMPUR: Pemilihan 'Messi Amerika', Wan Kuzain Wan Kamal ke dalam pasukan utama Sporting Kansas City (Sporting KC) diyakini mampu menjadi batu loncatan untuk pemain berdarah Malaysia itu mengintai peluang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Situasi itu diakui bapanya, Prof Dr Wan Kamal Napi yang menjelaskan peluang untuk menempatkan diri dalam saingan liga elit di England itu sentiasa menjadi cita-cita pemain berusia 19 tahun itu dengan dia turut mensasarkan untuk beraksi di Piala Dunia pada masa akan datang.

Justeru, Wan Kamal mahukan anak keduanya supaya tidak cepat berpuas hati dan selesa dengan apa yang dimiliki ketika ini sambil menegaskan dia perlu terus bekerja keras bagi mencapai sasarannya untuk bergelar pemain terbaik dunia.

"Bagi seorang pemain berusia 19 tahun dan menyertai pasukan utama dalam Liga Bolasepak Major (MLS), Kuzain melakukan perkara yang baik namun dia perlu terus bekerja keras kerana saya yakin dia mampu untuk perlu lebih jauh.

"Setakat ini, boleh dikatakan impiannya untuk beraksi di MLS berjaya menjadi kenyataan namun sebagai pemain profesional, masih banyak lagi yang perlu dipelajari dalam persaingan merebut kesebelasan utama sebelum menjadi pemain terbaik dunia.

"Siapa tahu mungkin Sporting KC akan membuka laluan untuk dia mengembangkan sayapnya ke EPL satu hari nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, bekas pemain Swope Park Rangers itu sekali lagi mencipta sejarah baharu apabila bakal menjadi pemain berdarah Malaysia pertama beraksi dalam saingan Liga Bolasepak Major (MLS) selepas sah menyertai pasukan Sporting KC yang bersaing dalam Western Conference MLS.

Menerusi kenyataan di laman rasmi pasukan itu, Sporting KC menandatangani Wan Kuzain yang juga bekas pemain akademi pasukan berkenaan dengan kontrak selaku pemain tempatan sehingga 2020 dengan pilihan untuk melanjutkan kontraknya pada 2021 dan 2022.

Mengulas lanjut perkembangan pesat yang ditunjukkan Wan Kuzain, Wan Kamal yang juga bekas pemain kebangsaan era 80-an itu menjelaskan tiada rahsia mengenai kemajuan anaknya itu kerana semua adalah berkat usaha keras dan seterusnya menyerahkan kepada Allah.

"Sesiapa pun boleh berjaya tanpa mengira bangsa atau dari negara mana dia dilahirkan. Apa yang penting adalah sanggup bekerja keras tanpa mengeluh ataupun memberi alasan.

"Sejak dari kecil lagi, Kuzain sudah diajar supaya bekerja keras dalam semua perkara yang dilakukannya. Selain itu, sentiasa jujur dan jangan sombong kerana semuanya milik Allah. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukannya," katanya.

Berita Harian X