Ahad, 15 April 2018 | 10:46pm
MASALAH tunggakan gaji pemain yang berlarutan menjadi punca pemain Kuantan FA sepakat enggan beraksi menentang PDRM. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

'Pengurusan Kuantan FA perlu jawab'

KUALA LUMPUR: Masalah tunggakan gaji pemain yang berlarutan kira-kira sejak empat bulan lalu dipercayai menjadi punca pemain Kuantan FA enggan beraksi menentang PDRM di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Ketua jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria berkata, beliau sudah tidak mampu berbuat apa-apa selepas pasukan berkenaan dipercayai sepakat enggan beraksi pada perlawanan ketujuh Liga Perdana itu.

Justeru, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan Kuantan FA untuk menjelaskan kepada badan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Saya sudah tidak mampu untuk membantu pemain, mereka sudah bosan dengan masalah tunggakan gaji yang berterusan.

"Kami juga tidak nampak usaha pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah gaji ini. Jadi, mungkin ini (tidak beraksi) keputusan terbaik yang boleh dilakukan.

"Sekarang ini, saya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pengurusan untuk menjelaskan apa yang sepatutnya kepada MFL dan FAM," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Difahamkan, barisan pemain dan jurulatih Kuantan FA tidak hadir ke stadium untuk perlawanan dengan PDRM sebentar tadi yang menyaksikan kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada The Cops.

1000 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »