Isnin, 16 April 2018 | 4:24pm
KAPTEN Pahang, Matthew Davies (kanan) masih belum pasti dapat diturunkan pada aksi berdepan JDT, Jumaat ini. - Foto Hazreen Mohamad

Dollah hanya mampu berdoa

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui hanya mampu berdoa supaya beberapa pemain utama kembali pulih daripada kecederaan menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), Jumaat ini.

Selain Francis Forkey Doe yang berdepan kecederaan panjang, Dollah jelas pening kepala memikirkan keadaan beberapa tonggaknya terutama kapten, Matthew Davies dan Safuwan Baharudin yang masih belum pasti dapat diturunkan pada aksi hidup mati di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu.

"Kami sudah pasti kehilangan Forkey Doe, Safuwan pula saya tidak pasti, 50-50 sama ada boleh bermain atau tidak, begitu juga dengan Davies. Jadi, kami hanya berdoa sajalah (untuk mereka pulih sepenuhnya).

"Memang berat (berdepan JDT) tapi saya tetap menaruh kepercayaan kepada pemain. Sama seperti malam ini (berdepan Kuala Lumpur), kami beraksi dengan baik dan mencipta banyak peluang, hanya tidak memanfaatkannya.

"Buat masa ini saya tidak boleh terlalu berharap pemain yang cedera dapat pulih sepenuhnya. Saya kena pastikan siapa pemain yang akan mengganti tempat mereka dapat menampung kekosongan yang ditinggalkan," kata Dollah pada sidang media selepas aksi Liga Super berdepan Kuala Lumpur, malam tadi.

Pahang dan Kuala Lumpur terikat 2-2 pada aksi keenam liga itu yang menyaksikan anak didik Dollah kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, JDT.

Bagi aksi Piala FA, peluang buat Pahang dan JDT untuk mara ke separuh akhir tampak seimbang selepas mereka terikat tanpa jaringan pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, 6 April lalu.

Ketika ditanya mengenai persembahan Chan Vathanaka, Dollah menjelaskan beliau masih mengharapkan persembahan lebih daripada pemain import dari Kemboja itu.

"Sebenarnya kami mengharapkan lebih daripada dia, tapi itu yang terbaik dia mampu lakukan sekarang. Tidak teruk, tapi sebagai pemain import dia perlu bagi impak yang lebih baik.

"Mengenai pengganti Forkey Doe pun kami perlu tunggu hingga jendela perpindahan dibuka (Mei ini). Kami akan cuba dapatkan pemain baharu, Issey Nakajima-Farran (bekas pemain import Terengganu) dalam proses ujian, tapi masih belum pasti untuk ditandatangani.

"Kami cuma perlu fikir bagaimana nak lawan JDT, apa yang penting kami perlu fokus bagaimana untuk membentuk pasukan terbaik dengan beberapa pemain cedera. Itu saja masalah yang kami perlu hadapi sekarang," katanya.

3150 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »