Isnin, 16 April 2018 | 7:29pm
PEMAIN Perak, Gilmar Da Silva (kanan) diasak pemain PKNP FC Mohamad Raffi Nagoorgani pada saingan Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan, malam tadi. - Foto Ramdzan Masiam

Durakovic puas hati aksi anak buah

IPOH: Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berpuas hati dengan persembahan anak buahnya biarpun menang tipis 2-1 ke atas PKNP FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Perak berada dalam kelompok empat pasukan elit dan Durakovic nyata gembira dengan perkembangan itu.

"Berada dalam kelompok empat teratas satu kedudukan baik. Saya berharap kami mampu mengekalkan pencapaian baik ini," katanya.

Lebih penting jurulatih itu berkata, kejayaan malam tadi meletakkan anak buahnya di landasan betul sebelum membuat perhitungan dengan PKNS FC pada suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.

Perak tumpas 1-2 pada pertembungan pertama di Stadium Shah Alam, 7 April lalu.

Menurut Durakovic, pertemuan dengan PKNP tidak mudah kerana tuan rumah memberi saingan sengit kepada Perak.

"Kedua-dua pasukan bermain cemerlang untuk mencari kemenangan. Ia perlawanan nenarik di permukaan padang yang baik," katanya.

Sementara itu, jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata, beliau akur dengan kelebihan Perak yang disifatkannya pasukan mantap dan seimbang.

"Import Perak lebih berkualiti berbanding kami. Mereka turunkan semua lima pemain sedangkan kami hanya mendapat khidmat tiga import saja. Itupun dua daripada mereka digantikan pemain tempatan pada babak kedua."

477 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »