Selasa, 17 April 2018 | 5:19pm
PEMANGKU Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya segala bentuk hukuman kepada MFL. - Foto Luqman Hakim Zubir

Jangan beri muka lagi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap kes Kuantan FA yang kemungkinan disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini seharusnya dijadikan pengajaran agar pasukan bermasalah tidak diberi 'muka' lagi selepas ini.   

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihak pengurusan kelab Liga Perdana itu seperti sengaja mengambil kesempatan atas sikap berlembut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila membenarkan mereka bertanding musim ini biarpun mempunyai masalah kewangan.   

"Mereka menjanjikan pengurusan baharu akan mengambil alih serta bersedia melangsaikan masalah gaji pemain bagi musim sebelum ini secara berperingkat tapi malangnya ia tidak berlaku. Walaupun Kuantan FA ini menggunakan nama Marcerra, tapi pengurusan kelab ini masih orang yang sama.    

"Tapi akhirnya ia memberi masalah kepada perjalanan liga kita sendiri yang sudah separuh jalan. Jadi, pada saya ini satu pengajaran buat kita semua dan MFL harus memikirkan jalan terbaik mengenai isu ini.    

"Mungkin kita perlu lebih tegas dengan melihat kedudukan kewangan sesebuah pasukan sebelum mereka dibenarkan bertanding," katanya.   

Kuantan FA yang sememangnya bermasalah kerana terbabit dengan isu pembayaran gaji pemain dalam beberapa musim kebelakangan ini, menggemparkan arena bola sepak tempatan apabila tidak hadir pada perlawanan Liga Perdana menentang PDRM di Stadium Shah Alam kelmarin.   

MFL dalam satu kenyataan menegaskan bersedia mengenakan hukuman berat dengan membatalkan penyertaan pasukan kendalian Ismail Zakaria itu meskipun sudah mengharungi tujuh perlawanan dan menduduki tangga kesembilan liga. 

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya segala bentuk hukuman kepada MFL. 

"Kes ini di bawah bidang kuasa MFL selaku badan yang mentadbir Liga M, jika masalah ini membabitkan tunggakan gaji atau pegawai pemain berkenaan, baru FAM boleh kendalikan menerusi Jawatankuasa Tatatertib. 

Kita berharap MFL dapat mencapai satu penyelesaian terbaik bukan saja berhubung kes ini tapi juga pada masa depan agar tidak berulang," katanya.   

1519 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »