Jumaat, 20 April 2018 | 5:51pm
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar. - Foto Amirudin Sahib
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar. - Foto Amirudin Sahib

'Liga M bukan tempat cari glamor'

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar mengingatkan semua pengurusan pasukan bola sepak di negara ini supaya menilai kemampuan kewangan mereka sebelum membuat keputusan untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M).

Bekas penolong jurulatih T-Team itu berkata demikian sebagai mengulas isu tunggakan gaji yang serius dihadapi pasukan Liga Perdana, Kuantan FA ketika ini yang menyaksikan skuad kendalian Ismail Zakaria itu tidak hadir pada aksi berdepan PDRM di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

Mengakui sedih dengan nasib yang menimpa Kuantan FA, Azlan menegaskan semua pasukan sepatutnya menjadikan Liga M sebagai pentas membangunkan bola sepak negara dan bukan hanya dijadikan tempat untuk mencari 'glamor'.

"Bagi pihak pengurusan yang berminat nak uruskan pasukan saya ucap tahniah dan terima kasih kerana ini satu perkembangan yang baik. Tapi mereka perlu tepuk dada tanya selera, jangan kita aniaya pemain dan jangan syok sendiri.

"Kalau sudah tahu tidak mampu, kenapa dari awal lagi tidak tarik diri? Sepatutnya mereka buat kajian dulu kerana bola sepak memerlukan dana yang tinggi, jangan hanya seronok bentuk pasukan dan kalau nak glamor bukan cara begini.

"Masalah gaji pemain ini berlaku dari dulu lagi berlaku dan masih berlarutan hingga sekarang. Ia sebenarnya memalukan seluruh peminat dan warga bola sepak negara.

"Saya ucap terima kasih dan tahniah kepada pengurusan Kuantan FA kerana mereka menjadi pasukan pertama mencipta sejarah. Pasukan lain perlu sedar, bola sepak tempat untuk kita berbakti kepada negara bukan untuk cari glamor," katanya.

Kegagalan Kuantan FA untuk hadir pada perlawanan berdepan PDRM menyaksikan mereka bakal berdepan hukuman berat daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan kemungkinan dibatalkan penyertaan dalam Liga Perdana.

Selain itu, Azlan turut berharap semua pihak berhenti menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai masalah gaji yang terus membelenggu pasukan Liga M.

Katanya, badan induk berkenaan sudah melakukan banyak perkara untuk mengatasi masalah itu termasuk pengenalan sistem pelesenan kelab dan memberi peruntukan geran tahun yang tinggi kepada pasukan bertanding.

"Bila FAM minta pengurusan bentangkan kewangan, perancangan dan pemasaran pasukan, mereka kata FAM cerewet. Tapi inilah yang berlaku, sebab itu kali ini FAM perlu bertindak lebih tegas.

"Kenapa setiap kali pasukan yang bertanding buat masalah, FAM perlu tanggung beban. Sampai bila benda ini akan berlaku, masyarakat tak tahu, yang mereka tahu hanya salahkan FAM.

"Bagi saya, MFL perlu panggil Kuantan FA dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Tapi jika pasukan itu sudah tidak boleh diselamatkan, langkah terakhir memang perlu batalkan penyertaan mereka," katanya.

Berita Harian X