Sabtu, 28 April 2018 | 12:06am
PEMAIN PKNS FC, Rafael Ramazotti (kiri) diasak pemain PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan (tengah) pada perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Shah Alam. - Foto Luqman Hakim Zubir

PKNS seri berdepan PKNP

 

SHAH ALAM: Jaringan penyamaan pemain gantian PKNS FC, Muhammad Nuridduan Abu Hassan pada minit akhir perlawanan menyelamatkan maruah tuan rumah apabila mengikat PKNP FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Ketika aksi dilihat memihak PKNP, percaturan pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal yang memasukkan Nuridduan pada pertengahan babak kedua nyata berbaloi sekali gus memadamkan hajat pelawat untuk meraih tiga mata.

Kembalinya tonggak pertahanan tengah tuan rumah, Zack Anderson ke dalam kesebelasan utama selepas disisihkan dalam beberapa aksi ekoran kecederaan sebelum ini berjaya mengekang asakan pantas jentera depan pelawat.

PKNS yang tumbang 0-3 kepada pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terdahulu dilihat lebih mendominasi permainan sepanjang babak pertama.

Bagaimanapun, anak didik Rajagobal seolah tiada jawapan untuk membelah kubu PKNP yang dikawal ketat pertahanan Latvia, Ritus Krjauklis dan Mohammad Raffi Nagoorgani apabila bijak menghalang hantaran ke dalam kotak penalti.

Begitupun, percubaan paling hampir buat skuad Semut Merah menerusi dua sepakan percuma Daniel Sang Ting pada minit ke-27 dan Rodney Akwensivie (m-29) yang sedikit tersasar daripada sasaran. 

Jaringan dinantikan pelawat akhirnya terhasil pada minit ke-42 menerusi rembatan Muhammad Mohd Safar yang terkena pemain PKNS sebelum bola bergolek masuk ke gawang untuk menewaskan Mohd Shahril Sa'ari.

Tersentak dengan gol pelawat itu, Rajagobal tidak menunggu lama untuk membawa masuk bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali dan mengeluarkan Mahali Jasuli bagi memburu gol penyamaan ketika perlawanan babak pertama hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan.

Seperti dijangka sebaik saja babak kedua bersambung, PKNS terus mendominasi permainan sehinggalah tandukan Nuridduan dalam masa kecederaan menghadiahkan satu mata berharga buat tuan rumah.

Berita Harian X