Sabtu, 28 April 2018 | 4:55pm
PEMANGKU Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi akui pihaknya dapat pengajaran berguna daripada kes Kuantan FA. - Foto fail
PEMANGKU Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi akui pihaknya dapat pengajaran berguna daripada kes Kuantan FA. - Foto fail

FAM elak 'ditipu' lagi

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan tidak akan lagi termakan dengan janji manis semua pasukan pada masa akan datang selepas masalah besar yang ditimbulkan Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui pihaknya dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendapat pengajaran berguna daripada kes Kuantan FA selepas percaya dengan janji pasukan itu mampu menyelesaikan segala masalah terutama tunggakan gaji yang dihadapi sejak musim lalu.

Justeru, beliau berkata FAM dan MFL tidak akan lagi berkompromi dengan mana-mana pasukan yang akan menyertai Liga M untuk musim depan bagi mengelak perkara memalukan bola sepak negara itu berulang.

"Sebelum masuk (bertanding) pasukan ini berjanji macam-macam, itu boleh, ini boleh, tapi akhirnya menimbulkan masalah. Jadi, kami tidak boleh lagi terpedaya dengan janji semua pasukan musim depan.

"Kami mesti lihat hitam putih kemampuan mereka, bukan hanya dengan kata-kata atau janji. Kami kena cari titik noktah terhadap perkara seperti ini untuk mengelak liga kita dijadikan bahan jenaka.

"Bagi musim depan, kami perlu melihat lebih terperinci terhadap kemampuan semua pasukan, bukan saja dari segi kewangan, malah kebijaksanaan pengurusan. Kalau kewangan kukuh, tapi pengurusan tidak cekap pun susah juga," katanya.

Kuantan FA yang berdepan masalah tunggakan gaji sejak musim lalu sah disingkirkan daripada Liga Perdana selepas kegagalan skuad itu hadir ke Stadium Shah Alam untuk berdepan PDRM pada 15 April lalu.

Penyingkiran skuad The Seagulls itu menyaksikan MFL terpaksa membatalkan semua aksi membabitkan mereka termasuk tujuh perlawanan yang sudah dilalui untuk berlaku adil kepada semua pasukan.

Malah, beberapa pihak sebelum ini berpendapat FAM dan MFL sepatutnya menyingkirkan Kuantan FA sejak awal musim lagi susulan masalah kewangan yang dihadapi skuad itu. 

Mengulas lanjut, Yusoff berkata, FAM dan MFL bertindak memberi ruang kepada semua pasukan untuk bertanding bagi mengangkat lagi martabat Liga M.

"Kami bukan tidak mahu bertindak kejam, tapi kami sebenarnya memberi ruang buat semua pasukan dan cuba membantu mereka dalam usaha memeriahkan lagi liga.

"Tapi bila kes Kuantan FA ini terjadi, ia memang memberi pengajaran berguna kepada FAM dan MFL. Kami perlu elak kesilapan sama selepas ini dan mengkaji lebih mendalam terhadap pasukan yang akan menyertai liga pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X