Ahad, 29 April 2018 | 8:34am
CESC Fabregas (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Swansea, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Chelsea kurang jaringkan gol - Conte

Swansea: Antonio Conte mungkin berjaya membantu menghidupkan peluang Chelsea untuk beraksi di Liga Juara-Juara, namun pada sama beliau mengakui kelab itu jelas gagal memanfaatkan banyak peluang untuk menjaringkan gol sepanjang musim ini.

Pengurus The Blues itu meraikan kemenangan ke-50 di bawah bimbingannya di saingan Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Swansea 1-0 awal pagi tadi hasil gol tunggal Cesc Fabregas.

Namun Conte kurang berpuas hati dengan kemenangan keempat berturut-turut dilakar anak buahnya itu dalam semua pertandingan.

PEMAIN perancang Chelsea, Eden Hazard (tengah) menjadi watak penting ketika bertemu Swanseai. - Foto REUTERS

Kemenangan itu menyaksikan Chelsea menduduki tangga kelima, hanya dua mata ketinggalan berbanding Tottenham Hotspur di tempat keempat.

Eden Hazard yang menjadi watak penting di sebalik gol Fabregas, kekal penjaring terbanyak Chelsea dengan 12 gol.

"Penjaring terbanyak kami hanya menjaringkan 12 gol. Jika anda mempunyai penjaring terbanyak hanya dengan jumlah itu ia bermakna sukar untuk bersaing merebut kejuaraan dalam tempoh semusim.

"Ini adalah realiti. Malah pada perlawanan bertemu Swansea kami berpeluang untuk menjaringkan lebih banyak gol, tetapi akhirnya perlawanan dilihat seimbang.

"Ketika bertemu West Ham juga sama. Kami mendominasi perlawanan dan mencipta banyak peluang, tetapi pada akhirnya hanya menjaringkan satu gol.

"Saya rasa musim ini kami gagal memanfaatkan banyak peluang," katanya. - AFP

Berita Harian X