Rabu, 2 Mei 2018 | 11:29am
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh. - Foto Farizul Hafiz Awang

Dollah tabik disiplin anak buah

KUALA TERENGGANU: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui aksi konsisten yang dipamerkan pemainnya menjadi 'kunci' utama kejayaan pasukannya sekali gus meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) malam tadi.

Selain itu, bekas pemain kebangsaan berkenaan turut mengakui disiplin tinggi yang dipamerkan anak buahnya ketika beraksi juga antara faktor yang membantu kemenangan 3-1 pasukannya ke atas TFC.

"Sebenarnya saya tidak jangka mendapat kemenangan yang agak selesa pada malam ini apatah lagi kita tidak banyak mencipta peluang. Tapi peluang yang ada berjaya dimanfaatkan pemain dengan jaringan.

"Rentak kemenangan itu bermula dengan kejayaan ke atas JDT (Johor Darul Ta'zim) di tempat lawan sebelum menundukkan Melaka United (MU) minggu lalu. Rentak kemenangan itu kami bawa ke Terengganu.

"Selain itu, mentaliti pemain yang sentiasa berazam untuk meneruskan catatan kemenangan kerana tidak mahu ditinggalkan jauh oleh JDT yang kini menghuni tangga teratas liga juga turut mempengaruhi aksi pada malam ini.

"Keupayaan pemain mengekalkan disiplin di dalam padang selain kejayaan menyekat Terengganu daripada menjaringkan gol awal pada 15 minit pertama memberi peluang kepada kami untuk bermain dan seterusnya mengintai peluang menghasilkan gol," kata Dollah.


KUALA TERENGGANU 01 MEI 2018. Pemain Pahang, meraikan jaringan mereka selepas menjaringkan gol pada aksi perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. NSTP/GHAZALI KORI

Malam tadi, penyerang import Tok Gajah kelahiran Brazil, Patrick Cruz berjaya meledak dua jaringan pada setiap babak dan satu jaringan lagi diperoleh menerusi pemain gantian, Mohd Faisal Abdul Halim manakala gol sagu hati tuan rumah dihasilkan Lee Tuck.

Mengulas prestasi Cruz, Dollah tanpa berselindung menyatakan bekas penyerang pasukan T-Team musim lalu itu adalah tonggak utama skuadnya dalam usaha memburu gol terutama selepas ketiadaan Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan.

"Bagi saya Cruz adalah tonggak pasukan dan selepas kembali pulih daripada kecederaan prestasi dia semakin menjadi bermula perlawanan dengan JDT kemudian Melaka dan Terengganu.

"Saya percaya peningkatan prestasi Cruz akan dapat membantu pemain lain lebih bersemangat untuk meneruskan rentak kemenangan," kata Dollah.


PEMAIN Pahang, Patrik Cruz (dua dari kanan) diasak pertahanan TFC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto BERNAMA
879 dibaca
Berita Harian X