Khamis, 3 Mei 2018 | 11:53am
PEMAIN tengah Pahang, Faisal Halim.

Faisal mahu cetak gol

KUANTAN: Dua gol pada masa kecederaan, masing-masing satu pada perlawanan dengan Melaka United dan Terengganu FC (TFC) melonjakkan lagi semangat pemain tengah Pahang, Faisal Halim.

Jaringan itu bukan saja membantu skuad Tok Gajah mencatat kemenangan, malah membuktikan bahawa pemain berumur 20 tahun berkenaan mengerah kudratnya sebaik diberi kepercayaan.

Bagi Faisal atau Mickey, kemampuannya menjaringkan gol ketika Pahang menewaskan Melaka United 2-0 dan TFC 3-1 memberi motivasi kepadanya untuk mengekalkan persembahan meyakinkan itu.

"Selain teruja, saya gembira kerana biarpun beraksi sebagai pemain gantian, saya membuktikan kepada jurulatih (Dollah Salleh) dan rakan sepasukan bahawa saya mampu melaksanakan amanah yang diberi.

"Lebih manis, dua gol ini dijaringkan dalam dua perlawanan berturut-turut pada masa kecederaan. Oleh itu saya harap dapat melakukan pada perlawanan selepas ini," katanya.

Ditanya peluang meraih tiga mata ketika bertemu Kedah di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini, Faisal yakin kemenangan pasti memihak kepada skuad Tok Gajah.

Katanya, momentum kemenangan yang diraih dalam dua perlawanan berturut-turut memberi motivasi terbaik dalam usaha mengurangkan jurang mata dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Oleh itu, kami tidak boleh terlepas tiga mata di laman sendiri memandangkan skuad Lang Merah dijangka memberi tentangan sengit.

"Namun, saya percaya percaturan jurulatih akan membuahkan hasil seperti yang dipersembahkan pada dua perlawanan sebelum ini," katanya.

Selepas lapan perlawanan, Pahang menduduki tangga kedua liga dengan 17 mata manakala JDT pula 21 mata dan diekori rapat Perak di tangga ketiga dengan 16 mata.

Berita Harian X