Jumaat, 4 Mei 2018 | 8:18pm
PENGENDALI hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dhaarma yakin bentuk penggempur taraf dunia

KUALA LUMPUR: Pengendali hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah percaya pendatang baharu Nurmaizatul Hanim Syafi Sheikh Fuad dan Nuramirah Syakirah Zulkifli mampu membentuk gandingan berbahaya bersama penyerang berpengalaman Hanis Nadiah Onn menjelang Trofi Juara-Juara Asia bermula 13 Mei ini.

Biarpun prestasi sebenar tiga serangkai itu masih belum teruji sepenuhnya, namun beliau yakin mereka mampu dibentuk menjadi penggempur digeruni kerana memiliki persamaan dari segi kepantasan.

Malah, ia kali pertama buat tiga penyerang muda itu beraksi dalam satu kejohanan selepas impian Dhaarma sebelum ini untuk menyatukan mereka tidak kesampaian.

"Hanis, Syafi dan Nuramirah memiliki pakej lengkap untuk membentuk gandingan hebat kerana tiga pemain ini begitu pantas dan mempunyai saiz fizikal sempurna untuk aksi antarabangsa.

"Kebiasaannya pemain wanita susah untuk menjaringkan gol, berbeza dengan tiga pemain ini yang mempunyai naluri pembunuh dan kekuatan pukulan, malah mereka juga mempunyai kemahiran menggelecek 3d yang baik.

"Memang ini yang saya impikan, tapi tidak pasti berapa banyak masa yang diperlukan mereka (Syafi dan Nuramirah) untuk mencapai tahap kematangan permainan," kata Dhaarma.

Bagaimanapun, Dhaarma belum boleh bergantung sepenuhnya terhadap gandingan peledak baharu negara itu ketika pengalaman luas Fatin Syafiqah Mahd Sukri, Nurul Nabihah Mansur dan Nur Zafirah Aziz di pentas antarababangsa tidak boleh dinafikan.

Ia jelas berbeza dengan Syafi, 17, dan Nuramirah, 18, yang hanya akan turun membuat penampilan kedua buat negara.

Pada Trofi Juara-Juara Asia, Malaysia yang turun sebagai pasukan bukan pilihan akan berdepan tugas sukar apabila perlu menandingi empat negara kuasa besar rantau ini iaitu China, India, Jepun dan tuan rumah Korea Selatan.

Berita Harian X