Isnin, 7 Mei 2018 | 3:04pm
MUHAMMAD NAZLIAZMI NASIR
MUHAMMAD NAZLIAZMI NASIR

Selangor perlu pemain import baru

 

 KUALA LUMPUR: Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Nasir berhasrat untuk membawa masuk pemain import baru pada jendela perpindahan pemain kedua bermula hari ini hingga 3 Jun depan bagi memperkuatkan pasukannya.

  

Bagaimanapun, beliau yang tidak menyatakan secara terbuka pemain import yang bakal digugurkan untuk memberi laluan pemain baru berkata, segala keputusan untuk melakukan perubahan itu tetap tertakluk kepada pihak pengurusan.

  

"Bergantung kepada keputusan pihak pengurusan untuk menggantikan pemain, sebagai jurulatih sudah pastinya saya ingin menambah kekuatan pasukan. 

  

"Ini pasukan Selangor jadi pemain yang dipilih seharusnya dapat meneruskan kesinambungan kejayaan pasukan. Mungkin ada (pemain import digugurkan), kita akan beritahu kemudian," katanya dalam sidang media selepas aksi Liga Super menentang PKNP FC semalam.

  

Ketika ini, skuad The Red Giants memiliki lima pemain import iaitu Rufino Segovia dan Alfonso De La Cruz Calero (Sepanyol), Willian Pachecho (Brazil), Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn (Indonesia).

  

Berdasarkan prestasi semasa, kemungkinan kedudukan Calero serta Ilham yang menjadi mangsa kritikan penyokong kini dalam kedudukan bahaya untuk digugurkan.

  

Biarpun Selangor mara ke separuh akhir Piala FA namun prestasi mereka dalam saingan liga masih tidak menentu dan terbaru hanya seri 1-1 dengan PKNP di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

  

Apa yang mengecewakan Nazliazmi apabila pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit akhir menerusi jaringan Hafiz Ramdan selepas mereka mendahului hasil sentuhan Segovia.

  

"Inilah bola sepak, selagi belum tamat perlawanan kita tak boleh terlalu yakin. Dalam bola sepak tak semua yang kita rancang menjadi, pemain sudah berusaha tapi melakukan sedikit kecuaian," katanya yang menyaksikan anak buahnya kini menduduki tangga ke-9 liga dengan 10 mata.

Berita Harian X