Rabu, 9 Mei 2018 | 5:50am
GAMBAR fail, Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto Goh Thean Howe

Pochettino sasar cantas Liverpool

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino memuji kemajuan yang ditunjukkan skuad kendaliannya musim ini dan meletakkan sasaran mengatasi Liverpool untuk menghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

Spurs ketika ini berada di kedudukan keempat liga, ketinggalan satu mata dan satu kedudukan di bawah Liverpool yang beraksi lebih satu perlawanan.

Jika kelab bimbingan Pochettino itu memenangi dua perlawanan terakhir mereka musim ini, mereka akan mengisi tempat kelab dari Merseyside itu.

Tottenham akan bermain menentang Newcastle United di Wembley, esok sebelum melengkapkan kempen musim ini dengan satu lagi aksi di gelanggang sendiri bertemu Leicester City.

"Bagi saya, (sememangnya ada) kemajuan yang menakjubkan," kata Pochettino. "Kamu perlu membandingkan segala-galanya pada musim ini dalam konteks.

"Jika kamu menganalisa dalam kesemua konteks, saya fikir ia musim yang menakjubkan. Dengan berbaki dua perlawanan, saya fikir tangga ketiga adalah kejayaan yang besar.

"Bagi saya untuk mencipta pasukan yang mampu untuk menang seperti maraton. Ia bukannya perlumbaan pecut 100 meter, ia adalah 42 kilometer, pembangunan jangka panjang."

Pemain tengah, Eric Dier akan terlepas aksi bertemu Newcastle berikutan masalah kesihatan dan sekali pun kekurangan pilihan di bahagian tengah, Pochettino tidak begitu bimbang selepas dua aksi terakhir berlangsung di laman sendiri.

"Saya fikir kuncinya adalah bermain di Wembley di depan peminat kami," katanya. "Segala-galanya masih bergantung di tangan kami untuk berada di tangga ketiga." - Reuters

Berita Harian X