X
Khamis, 10 Mei 2018 | 3:49pm
FAJER Ebrahim.
FAJER Ebrahim.

Usah ketepi import

KUALA LUMPUR:  Kelantan tetap perlu menggunakan tenaga import demi menyelamatkan pasukan itu daripada terjerumus ke Liga Perdana musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola sepak Kelantan (PBPBK), Anuar Rajib berkata ia kerana pemain muda yang ditonjolkan Fajer Ebrahim sekarang belum mampu menanggung tugas berkenaan sekalipun menunjukkan persembahan yang positif.

"Saya akui, perubahan dilakukan Fajer menghasilkan sesuatu yang positif terutama ketika mereka mengalahkan Kuala Lumpur 4-2, minggu lalu dengan hanya seorang pemain import.

"Namun ia belum mencukupi untuk memastikan Kelantan kekal dalam Liga Super, apatah lagi dengan kedudukan di tangga kedua tercorot sekarang.

"Pemain muda yang ada sekarang memang bagus daripada segi sikap, disiplin dan komitmen. Begitu pun, mereka tetap perlu dibantu oleh pemain import yang berkualiti.

"Terus terang, saya tidak yakin Kelantan akan kekal dalam Liga Super jika mereka mengamalkan polisi tutup pintu kepada pemain import walaupun langkah itu mampu menjimatkan perbelanjaan.

 "Bukan rahsia lagi pemain import adalah nadi kekuatan sesebuah pasukan. Kalau pasukan lain menggunakan lima pemain import sedangkan Kelantan tidak, bagaimana mereka mahu bersaing," kata Anuar.

Fajer mengambil langkah berani apabila mengetepikan  penyerang import, Mohamed Ghaddar dan Do Dong-hyun sebaliknya hanya menggunakan khidmat pemain pertahanan, Cassio de Jesus sahaja ketika menentang Kuala Lumpur.

Malah, difahamkan Ghaddar dan Dong-hyun bakal digugurkan daripada pasukan selepas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebelum itu sudah memutuskan ikatan dengan dua import, Bruno Lopes dan  Ferdinand Sinaga.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara Ghaddar dan Dong-hyunn dengan Fajer sehingga mereka diketepikan. Tapi, jika benar mereka digugurkan, KAFA kena cari pemain baru sebagai pengganti, kalau tidak parah," ujar bekas pemain Kelantan dan Terengganu itu.

The Red Warriors akan menentang PKNP FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam esok.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X