Jumaat, 11 Mei 2018 | 11:27am
BEKAS pemain import Marcerra Kuantan, Zarko Korac turut bersama Kedah dalam sesi latihan. - Foto Kedah FA

Korac penyerang baharu Kedah?

 

ALOR SETAR: Penantian Kedah untuk menentukan siapakah penyerang baharu yang akan menyertai skuad Lang Merah pada jendela perpindahan yang bermula sejak 7 Mei lalu bakal terjawab minggu depan.

Menurut pengurus Kedah Syed Khairul Anuar Syed Abidin, penyerang baharu akan diketahui selepas skuad Lang Merah kembali daripada aksi Liga Super menentang skuad Negeri Sembilan di Stadium Paroi Ahad ini.

"Kita mahu pastikan penyerang baharu yang dipilih nanti sedia beraksi pada perlawanan seterusnya bertemu Pahang di Alor Setar pada 22 Mei ini," kata Syed Khairul.

"Kita mahu menilai pemain yang terbaik dan bersesuaian untuk beraksi sebagai penyerang utama. Kita mencari seorang penyerang yang berwibawa bagi memantapkan jentera serangan." 

"Pada masa sama kita menerima kehadiran bekas pemain import Marcerra Kuantan, Zarko Korac yang sanggup datang ke Alor Setar dan bersama pasukan Kedah dalam sesi latihan petang ini. Dia antara calon yang tersenarai dalam perancangan." 

Kehadiran Korac yang menjalani latihan bersama skuad Lang Merah di padang Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) di Alor Setar petang semalam terus 'menghangatkan' teka teki berkaitan calon pengganti Pablo Pallares.

Antara calon penyerang yang dinantikan sebelum ini ialah bekas pemain import yang pernah beraksi bersama Selangor, Perak, Terengganu dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kelahiran Brazil, Paulo Rangel yang kini beraksi bersama kelab Nakhon Ratchsima di Thailand.

Selain Rangel, seorang lagi yang difahamkan turut menjadi calon ialah pemain dari Serbia Andrija Kaluderovic yang kini beraksi bersama kelab Wellington Phoenix FC yang beraksi di Liga A League Austalia. 

Bagaimanapun status kedua-dua pemain berkenaan masih dinantikan dan belum terjawab.

Berita Harian X