Jumaat, 11 Mei 2018 | 7:28pm
PENGURUS Everton Sam Allardyce . - Foto REUTERS

Rooney tak beritahu saya - Allardyce

LONDON: Pengurus Everton Sam Allardyce berkata Wayne Rooney tidak meminta untuk meninggalkan kelab itu biarpun wujud laporan pemain itu secara asasnya bersetuju untuk berpindah ke Amerika Syarikat.

Rooney dilaporkan bersetuju menandatangani kontrak bernilai STG12.5 juta (RM67 juta) dengan kelab Major League Soccer DC United yang akan menyaksikan pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan kelab zaman kecilnya hanya 12 bulan selepas kembali menyertai kelab itu daripada Manchester United.

Namun difahamkan dia belum memutuskan sama ada mahu meninggalkan Everton kerana masih menunggu kepastian mengenai jawatan Allardyce.

"Apa yang saya faham, berlaku rundingan tetapi untuk menjelaskan sama ada Wayne akan kekal atau sebaliknya kita akan lihat kemudian," kata pengurus itu.

"Saya tidak terbabit dengan mana-mana perpindahan namun dikatakan DC United menunjukkan minat. Hanya apabila saya bercakap dengannya nanti, saya akan tahu kedudukan sebenar.

"Saya tidak kisah jika ada pemain mahu meninggalkan kelab tetapi apa yang perlu dijelaskan, Wayne Rooney tidak pernah meminta untuk pergi."

Allardyce yang mempunyai hubungan bermasalah dengan peminat Everton yang tidak berpuas hati dengan corak permainannya berkata: "Wayne seorang pemain istimewa namun jika mana-mana pemain mahu pergi, pada pandangan saya mereka boleh berbuat demikian, sama ada mereka dibenarkan atau tidak itu soal lain.

"Tajuknya bukanlah 'Sam berkata Wayne Rooney boleh pergi jika dia mahu'. Jika mana-mana pemain mahu pergi, mereka boleh berbuat demikian. Saya tidak mahu menjadi tajuk berita."

Ditanya sama ada dia terkejut dengan rundingan yang sudah berlaku, Allardyce membalas: "Tidak, bukan tanggungjawab saya lagi untuk berada di peringkat rundingan.

"Permainan sudah banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan. Perbincangan seperti itu kini di luar kawalan pengurus.

"Sebelum ini pengurus terbabit dalam semua rundingan dan perpindahan tetapi kini tidak lagi." -AFP

 

 

Berita Harian X