Jumaat, 11 Mei 2018 | 9:03pm
NEGERI Sembilan mengikat dua pemain, Angel Guirado (kiri) dan Alex Moraes bagi meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super.
NEGERI Sembilan mengikat dua pemain, Angel Guirado (kiri) dan Alex Moraes bagi meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super.

Guirado, Moraes perkuat NS

sukanteam.nstp.com.my

SEREMBAN: Jentera serangan Negeri Sembilan yang dikatakan bermasalah sebelum ini mendapat suntikan baru apabila penyerang kelahiran Sepanyol, Angel Guirado bakal menjadi senjata baru bagi meneruskan perjuangan dalam saingan Liga Super.

Pemain berusia 33 tahun itu yang memiliki kewarganegaraan Filipina, menggantikan Prak Mony Udom dari Kemboja, bagi mengisi kuota pemain import ASEAN, pada sesi perpindahan kedua ketika ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin, berkata pihaknya turut mengikat seorang lagi pemain import, Alex Moraes, 30, berasal dari Brazil, yang akan beraksi di posisi pertahanan tengah.

Beliau yang juga pengurus pasukan berkata, Moraes yang menyertai Pahang musim ini akan menguatkan barisan pertahanan Negeri Sembilan selepas pemain dari Latvia, Renars Rode digugurkan akibat kecederaan. 

"Saya berharap kehadiran Guirado akan dapat mengatasi ketumpulan di bahagian hadapan pasukan yang dihadapi dalam beberapa perlawanan sebelum ini, malah dia boleh membentuk gandingan mantap bersama Nicolas Velez, bagi menajamkan lagi jentera serangan.

"Sememangnya, pasukan Negeri Sembilan amat memerlukan kebangkitan bagi mencipta kemenangan kerana kedudukan sekarang dalam carta begitu menggusarkan ketika saingan liga sudah hampir memasuki fasa kedua. 

"Saya amat berharap dengan kehadiran ketua jurulatih baru, Mario Lemos, prestasi dan persembahan pasukan mengalami perubahan dengan mencatat kemenangan pada perlawanan akan datang," katanya di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut mengenai kedua-dua pemain import terbabit, Mohamad Haslah berkata, pihaknya akan berusaha menyegerakan urusan pendaftaran pemain berkenaan bagi membolehkan mereka dapat diturunkan pada pertembungan dengan Kedah, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.

"Saya belum dapat pastikan sama ada kedua-dua pemain import itu dapat beraksi pada Ahad ini, namun usaha sedang dilakukan supaya urusan pendaftaran mereka selesai secepat mungkin.

"Kita pun tidak menjangka cuti panjang, tapi urusan mendaftarkan pemain itu sedang dilakukan dan berharap khidmat mereka dapat dimanfaatkan pada perlawanan dengan Kedah nanti," katanya. 

Mohamad Haslah berkata, beliau juga mahu kedua-dua pemain terbabit dapat menyeseuaikan diri dengan cepat dalam skuad Hobin Jang Hobin, supaya setiap perancangan jurulatih baru itu berjalan lancar dan membuahkan hasil memuaskan.

"Negeri Sembilan amat memerlukan kemenangan untuk keluar daripada zon bahaya dan saya berharap perubahan ini memberi impak positif kepada persembahan dan membantu pasukan mencipta kemenangan khususnya ketika menetang Kedah, Ahad ini," katanya.

Berita Harian X