Sabtu, 12 Mei 2018 | 1:27am
PEMAIN PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan (kiri) diasak pemain Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini. - Foto BERNAMA
PEMAIN PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan (kiri) diasak pemain Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini. - Foto BERNAMA

Kelantan gagal tebus kekalahan

KOTA BHARU: Kelantan gagal menebus kekalahan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) selepas tewas 1-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

Pada aksi dihadiri kira-kira 13,000 penyokong  itu, pengendali Kelantan, Fajer Ebrahim mempertaruhkan kesebelasan sama ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu. 

PENYERANG Kelantan, Mohamad Imran Samso meraikan gol jaringannya pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Sultan Mohd Ke IV. - Foto FATHIL ASRI
PENYERANG Kelantan, Mohamad Imran Samso meraikan gol jaringannya pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Sultan Mohd Ke IV. - Foto FATHIL ASRI

Seawal minit kedua, tuan rumah hampir merobek gawang pelawat selepas bola tolakan Nik Akif Syahiran Nik Mat membuka ruang buat Mohd Danial Ashraf Abdullah membuat rembatan namun sedikit melepasi gawang ketika penjaga gol pelawat, Ahmad Asyraaf Omar tertewas.

Selang dua minit, serangan pantas skuad The Red Warriors (TRW) hampir menemui sasaran selepas hantaran lintang Mohamad Azwan Aripin ditanduk kemas Nik Akif Syahiran Nik Mat namun sedikit tersasar.

TRW berpeluang mencipta jaringan pada minit ke-27 menerusi Shafiq Shaharudin yang bertindak membuat larian solo namun sedikit tersasar walaupun hanya berdepan penjaga pelawat dengan kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat separuh pertama.

Pelawat menghasilkan gol pertama pada minit ke-61 selepas bola hantaran lintang tepat kepada Mohamad Hafiz Ramdan  yang tidak dikawal sebelum mudah menolak bola menewaskan Mohammad Fikri Che Soh.

TRW akhirnya berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-74 hasil rembatan deras  Mohammad Imran Samso yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat.

PKNP FC pantas menghukum kesilapan penjaga gol tuan rumah yang gagal menangkap kemas bola pada minit ke-83 apabila kapten PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mudah  memperdayakan Mohammad Fikri dan melengkapkan kemenangan PKNP FC 2-1 di tempat lawan.

Berita Harian X