Isnin, 14 Mei 2018 | 1:50pm
NEYMAR menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan Perancis. - Foto AFP

Neymar terbaik liga Perancis, nafi tinggalkan PSG

PARIS: Neymar menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan Perancis dalam satu majlis di sini semalam dan sejurus kemudian menolak spekulasi membabitkan masa depannya di Paris Saint-Germain.

Sekalipun tidak beraksi bersama kelab gergasi Perancis itu selama hampir tiga bulan susulan kecederaan, penyerang bintang Brazil itu tetap memenangi anugerah utama berkenaan.

Sejak tiba dari Barcelona, pemain termahal dunia itu sudah menjaringkan 19 gol dalam 20 aksi liga sebelum dipalit kecederaan kaki pada Februari yang memerlukan pembedahan di negara kelahirannya, Brazil.

Dia tidak bermain sejak itu dan hanya kembali ke Perancis dari Brazil, awal bulan ini sekali gus mencetus spekulasi hangat betapa pemain berusia 26 tahun itu mungkin akan meninggalkan kelab kaya raya itu selepas semusim.

"Saya amat terharu dan gembira dengan musim yang kami harungi. Ia satu penghargaan. Tanpa rakan sepasukan saya, saya tidak akan menerima anugerah ini," kata Neymar yang menerima anugerah itu disampaikan legenda Brazil, Ronaldo.

Neymar yang menyertai keraian PSG susulan kejayaan menjulang Ligue 1, Sabtu lalu begitupun enggan berbincang mengenai masa depannya selepas memenangi anugerah itu.

"Kami bercakap mengenai perkara ini setiap kali jendela perpindahan semakin hampir. Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenainya ketika ini.

"Semua orang tahu mengapa saya datang ke sini, apa objektif saya. Ketika ini, objektif saya adalah Piala Dunia, tidak bercakap mengenai perpindahan. Saya menghabiskan seluruh hidup saya, setiap perpindahan mengenainya. Ia sedikit menjengkelkan."

Neymar menewaskan dua rakan sepasukannya di PSG, Edinson Cavani, yang juga pendahulu penjaring terbanyak Ligue 1 dengan 28 gol dan Kylian Mbappe selain pemain sayap Marseille, Florian Thauvin bagi anugerah itu.

Selepas cemerlang membantu pasukannya sejak tiba dari Barca, kecederaan memaksanya tersisih daripada skuad kendalian Unai Emery yang kemudian tersingkir pada peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara kepada Real Madrid.

Begitupun, dia berharap untuk kembali mencapai tahap kecergasan terbaik bagi membantu Brazil dalam kempen Piala Dunia Russia yang dijadual membuka tirai dalam tempoh sebulan saja lagi. - AFP

Berita Harian X