Rabu, 16 Mei 2018 | 8:02am
KETUA jurulatih Sweden, Janne Andersson mengumumkan senarai pemainnya untuk Piala Dunia FIFA 2018 di Lidingo, Stockholm. Gambar kecil, bekas penyerang Zlatan Ibrahimovic. - Foto AFP

Sweden tak gusar tanpa Ibra

STOCKHOLM: Selepas bekas penyerang mereka Zlatan Ibrahimovic baru-baru ini menamatkan spekulasi sama ada dia akan beraksi pada Piala Dunia Russia, jurulatih Sweden Janne Andersson hari ini menamakan skuad yang tidak dibarisi nama besar namun memiliki semangat tinggi.

Tiada kejutan diberikan jurulatih berusia 55 tahun yang mengambil alih selepas Ibrahimovic bersara daripada pasukan kebangsaan susulan kempen mengecewakan di Euro 2016, namun beliau yakin dengan pemain yang dipilihnya ke Russia.

Dalam ketiadaan Ibrahimovic, Sweden berjaya menewaskan Perancis di laman sendiri sewaktu kelayakan sebelum menewaskan Itali dalam aksi playoff untuk menempah tiket ke pusingan akhir.

"Saya fikir kami membuktikan kemampuan pada kelayakan dan playoff. Kami menggunakan skuad yang sama dan saya fikir kami beraksi dengan baik jadi saya harap ada kekuatan mereka di situ," kata Anderson mengenai pasukannya yang kurang memiliki pemain berstatus bintang.

Ibrahimovic, 36, yang kembali menemui kecergasannya selepas berpindah dari Manchester United ke kelab Major League Soccer Los Angeles Galaxy, dilihat 'bermain-main' dengan keputusannya untuk kembali ke kancah antarabangsa.

Bagaimanapun pengurus pasukan Lasse Richt, yang rapat dengan Ibrahimovic, berkata ia bukan satu kemungkinan yang serius.

"Ia lebih kepada menggambarkan spekulasi apabila dia ingin melakukan sesuatu yang berbeza namun dia tidak pernah bercakap kepada saya dan saya mempunyai hubungan rapat dengannya, bahawa dia mahu bermain di Piala Dunia," kata Richt.

Ibrahimovic membuat beberapa perjanjian komersial berprofil tinggi sebelum Piala Dunia dan Richt berkata beliau tidak mengharapkan penggilan daripada penyerang itu yang mahukan tiket untuk perlawanan Kumpulan F menentang Korea Selatan, Jerman dan  Mexico.

"Saya tidak fikir beliau perlukan bantuan saya untuk mendapatkan tiket jika dia datang nanti," kata Richt. - Reuters

660 dibaca
Berita Harian X