Rabu, 16 Mei 2018 | 8:28am
Pemain Atletico Madrid Antoine Griezmann semasa sesi latihan Atletico Madrid di Lyon, Perancis. - Foto EPA-EFE

Lima watak tumpuan final Liga Europa

LYON: Ketika Atletico Madrid dan Marseille bersiap untuk pertembungan final Liga Europa awal pagi Khamis, AFP Sport memilih lima watak utama yang dijangka bakal menentukan nasib pasukan masing-masing.

Masa depan Griezmann hangat diperkatakan dan mungkin berpindah ke Barcelona selepas musim ini, tetapi penyerang Perancis ini mengidam trofi utama pertama bersama Atletico Madrid dan mahu mengubati kekecewaan tewas kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara 2016 menerusi sepakan penalti.

Griezmann meledak 27 gol dalam semua kejohanan musim ini, termasuk ketika menumbangkan Arsenal di separuh akhir.

Kini, dia sekali lagi diharap mampu mengecewakan Marseille, kelab yang disokongnya sejak kecil dalam aksi final di Lyon - tidak jauh dari tempat Griezmann membesar.

"Griezmann adalah antara penyerang terbaik di dunia dan dia boleh mencapai apa saja kemahuannya," kata penjaga gol Marseille, Steve Mandanda.

Florian Thauvin pula adalah peledak utama Marseille musim ini, dia menjaringkan gol pembukaan pada separuh akhir pertama menentang Salzburg, tetapi sebenarnya lawan mereka dari Sepanyol itu lebih risaukan kelibat Dimitri Payet.

Pemain yang memiliki 37 kap bersama Perancis itu bergelut untuk mendapat tahap kecergasan terbaik dan merisaukan penyokong Marseille sejak beberapa hari lalu - selepas cedera ringan pada bahagian otot yang menghalangnya daripada beraksi dalam perlawanan liga terakhir.

Kebolehannya membuat hantaran tepat dan kemampuan merebut peluang pada situasi bola mati membuatkan bekas pemain West Ham United ini menjadi bintang utama skuad kendalian Rudi Garcia.

Dia juga mampu pulih sepenuhnya dalam tempoh singkat selepas berdepan masalah kecergasan yang teruk sebelum ini.

"Saya berada di prestasi terbaik. Apabila kamu merasakan sudah mencapai tahap fizikal terbaik, cergas 100 peratus di padang, kamu akan merasa lebih tenang dan boleh melakukan apa saja secara semula jadi," kata Payet.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone pula hanya akan menjadi pemerhati selepas dibuang padang ketika separuh akhir pertama menentang Arsenal.

Tanpanya, 'Mono' Burgos akan mengambil alih tugas mengurus pasukan - sama seperti yang dilakukan ketika pusingan kedua berdepan Arsenal.

Situasi itu dilihat akan memberi masalah kepada skuad dari Sepanyol kerana terpaksa beraksi tanpa Simeone, namun Burgos sebenarnya mempunyai karektor yang cukup besar untuk memastikan kehilangan pengendali dari Argentina itu tidak begitu dirasai.

"Saya sedih kerana tidak berada di sana, tetapi kami saling mengenali untuk tempoh cukup lama dan memahami dunia bola sepak dengan pendekatan yang sama. Saya yakin dia mampu menguruskan situasi ini," kata Simeone.

Kekuatan Marseille pada musim ini bergantung kepada pemain tengah, tetapi persoalannya ialah siapa yang bakal mengemudi jentera pada final kali ini.

Garcia dicadangkan supaya meletakkan tiga pertahanan, kerana itulah peluang terbaik pengendali dari Brazil ini untuk memulakan gerak atur serangan dari bawah.

Tetapi mampukah Marseille mengawal sepenuhnya bahagian tengah dalam aksi final seperti ini?.

Perlu diingat, benteng pertahanan Atletico diakui antara yang terbaik di Eropah, tetapi bahagian tengah mereka akan longgar untuk menyambung kekuatan kepada penyerang.

Mereka mungkin menggabungkan Griezmann dan Diego Costa di depan, sama seperti ketika menang ke atas Getafe dalam saingan La Liga minggu lalu. -AFP

1075 dibaca
Berita Harian X