Khamis, 17 Mei 2018 | 3:46pm
KONTRAK Thibaut Courtois masih berbaki setahun dengan Chelsea sudah menawarkan perjanjian baharu untuk melanjutkan masa depannya di Stamford Bridge. - Foto REUTERS

Tempoh sukar Courtois

LONDON: Thibaut Courtois berdepan tempoh yang sukar tatkala penjaga gol Chelsea itu perlu memburu kejayaan Piala FA dan Piala Dunia sambil memikirkan masa depannya bersama The Blues.

Kontrak Courtois masih berbaki setahun, dengan Chelsea sudah menawarkan perjanjian baharu STG200,000 (RM1.07 juta) seminggu untuk melanjutkan masa depannya di Stamford Bridge.

Namun, pemain berusia 26 tahun itu terus dikaitkan dengan Real Madrid dan tampak masuk akal untuknya kembali ke ibu kota Sepanyol itu apatah lagi dia pernah beraksi tiga musim buat Atletico Madrid secara pinjaman dari Chelsea.

Dia sering ke Madrid, yang mana bekas pasangannya Marta Dominguez tinggal di sana bersama anaknya iaitu Nicolas dan Adriana.

Dengan prestasi tidak konsisten penjaga gol semasa Real Madrid, Keylor Navas sepanjang kempen ini, sekali gus mencetuskan cakap-cakap terdapat tawaran untuk Courtois.

Dan spekulasi itu turut tidak ditolak Courtois pada awal musim ini dengan memberitahu pemberita Sepanyol: "Saya belum membuat sebarang keputusan mengenai masa depan.

"Hati saya masih di Madrid, kerana kedua-dua anak saya di sana, dan ia disalah tafsir. Situasi ini bukannya mudah bagi saya.

"Saya tidak lupa jasa Chelsea dalam menyokong karier saya sejak daripada mula.

"Saya tidak fikir (presiden Real Madrid) Florentino Perez akan menghubungi saya, tetapi dia akan menghubungi ejen saya yang akan mendengar sebarang tawarannya."

Kegagalan Chelsea ke pentas Liga Juara-Juara musim depan selepas menamatkan saingan liga di kedudukan kelima, menyebabkan masa depan Courtois terus kabur.

Namun sebelum dia memikirkan untuk merealisasikan perpindahan itu, Courtois mempunyai peluang untuk menamatkan kempen domestik dengan penuh bergaya pada Sabtu ini, apabila bertemu Manchester United pada final Piala FA. - AFP

812 dibaca
Berita Harian X