Khamis, 17 Mei 2018 | 5:58pm
LIMA perlawanan liga sepanjang Ramadan ini pasti kritikal buat skuad Red Giants untuk memperbaiki kedudukan. - Foto Luqman Hakim Zubir
LIMA perlawanan liga sepanjang Ramadan ini pasti kritikal buat skuad Red Giants untuk memperbaiki kedudukan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Reds Giants akan terus berjuang

KUALA LUMPUR: Jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir percaya tanpa pemain import baru, anak buahnya sedia untuk terus berjuang pada baki kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perancangan pihak pengurusan untuk memperkuatkan pasukan pada jendela perpindahan pemain kedua ketika ini berkata, kualiti pemain sedia ada khususnya pemain tempatan mampu melonjakkan kedudukan Selangor dalam saingan Liga Super.

"Kita berharap akan ada perkembangan positif selepas ini. Dalam masa yang sama kita tak boleh menidakkan keupayaan dan kualiti pemain tempatan dalam pasukan ini. Mereka sentiasa positif dan bersedia untuk berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan," kata Nazliazmi.

Prestasi Selangor setakat ini kurang memberangsangkan apabila menduduki tangga ke-8 liga meskipun berjaya mara ke separuh akhir Piala FA.

Ramai penyokong mengharapkan ada rombakan dalam barisan pemain import yang dikatakan tidak memberi impak besar kepada pasukan kecuali penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia.

Namun, berdasarkan laporan Sukan NSTP semalam, akibat kekangan kewangan, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berdepan kesukaran untuk membawa masuk pemain import baru.

Lima perlawanan liga sepanjang Ramadan ini pasti kritikal buat skuad Red Giants untuk memperbaiki kedudukan bermula dengan aksi bertemu PKNP FC pada Rabu depan di Stadium Negeri Pulau Pinang.

"Memang agak getir untuk pasukan memperbaiki kedudukan liga. Apa pun kita harus pandang positif dan memperbaiki kelemahan yang ada.

"Bertemu PKNP nanti, Syahmi Safari sudah pulih daripada kecederaan tapi Willian Pachecho tak dapat bermain kerana penggantungan," jelas Nazliazmi.

Berita Harian X