Jumaat, 18 Mei 2018 | 1:11am

United atasi 'untung' City

LONDON: Juara Inggeris, Manchester City yang memecah pelbagai rekod musim ini memperoleh 149.4 juta pound (RM801.1 juta) daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi mereka ditewaskan Manchester United dari sudut perolehan keuntungan.

United yang menamatkan saingan di tangga kedua menerima 149.7 juta pound (RM802.7 juta) kerana kelab berkenaan mempunyai dua perlawanan lebih yang disiarkan secara langsung di televisyen berbanding City ketika kempen berjalan.

Liverpool, Tottenham Hotspur, Chelsea dan Arsenal menjadi kelab yang memperoleh lebih 140 juta pound (RM750.8 juta).

West Bromwich Albion, yang tersingkir di divisyen kedua (Liga Kejuaraan) selepas menamatkan saingan di kedudukan tercorot menerima 94.7 juta pound (RM507.9 juta).

Kempen musim 2017-18 adalah yang kedua di bawah perjanjian hak televisyen domestik sebanyak 5.1 bilion pound (RM27.3 bilion) yang ditandatangani pada 2015 dengan 20 kelab berkongsi sejumlah 2.4 bilion pound (RM12.8 bilion) dalam pembayaran keseluruhan.

Bayaran berkenaan termasuk daripada hak penyiaran dan pendapatan komersial serta hadiah kemenangan.

Pendapatan komersil, pendapatan siaran luar negara dan peratusan pendapatan siaran domestik dikongsi bersama di antara 20 kelab liga.

Selebihnya akan dibahagikan mengikut kedudukan dalam aksi liga dan jumlah permainan yang disiarkan secara langsung pada setiap musim.

Berikut adalah bayaran yang diberikan oleh EPL kepada kelab-kelab berakhir musim 2017-18.

Manchester City - RM801.1 juta

Manchester United - RM802.7 juta (Terbanyak)

Tottenham Hotspur - RM774.9 juta

Liverpool - RM782.7 juta

Chelsea - RM760.3 juta

Arsenal - RM762 juta

Burnley - RM642.5 juta

Everton - RM686.8 juta

Leicester City - RM634 juta

Newcastle United - RM660 juta

Crystal Palace - RM613.2 juta

Bournemouth - RM596.9 juta

West Ham United - RM622.9 juta 

Watford - RM570.1 juta

Brighton and Hove Albion - RM577.9 juta

Huddersfield Town - RM549.4 juta

Southampton - RM575.4 juta

Swansea City - RM528.6 juta

Stoke City - RM530.3 juta

West Bromwich Albion - RM507.9 juta

- Reuters

2828 dibaca
Berita Harian X