Jumaat, 18 Mei 2018 | 12:33pm
KELAB Penyokong Bola sepak Kedah Darul Aman mengalu-alukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk kembali menerajui persatuan itu. - Foto Owee Ah Chun
KELAB Penyokong Bola sepak Kedah Darul Aman mengalu-alukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk kembali menerajui persatuan itu. - Foto Owee Ah Chun

KEPDA sokong Mukhriz terajui KFA

KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Bola sepak Kedah Darul Aman (KEPDA) menyambut baik langkah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipa melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sambil mengalu-alukan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk kembali menerajui persatuan itu.

Presidennya, Nor Asmadi Hamzah menganggap tindakan bekas menteri besar itu sebagai wajar demi kelancaran pengurusan KFA selepas berlaku pertukaran pucuk pimpinan negeri ekoran keputusan Pilihan raya Umum ke-14, baru-baru ini.

Asmadi berkata, meskipun perlembagaan KFA yang sudah dipinda tidak mewajibkan jawatan presiden disandang oleh menteri besar namun beliau yakin tradisi itu perlu diteruskan demi kemajuan bola sepak negeri berkenaan.

Malah KEPDA yakin Mukhriz memiliki karisma untuk memacu pasukan Kedah mencapai lebih kejayaan seperti yang pernah beliau buktikan ketika menerajui KFA sebelum ini.

"Kami sebagai penyokong sangat menghargai jasa Datuk Ahmad Bashah sepanjang menjadi presiden. Namun, situasi terkini memerlukan perubahan dalam KFA.

"Walaupun ramai yang meminta bola sepak dipisahkan daripada politik namun dalam konteks bola sepak Malaysia khususnya di Kedah pembabitan tokoh politik terutama yang memegang tampuk kuasa sangat penting.

"Ini kerana pengaruh pemimpin negeri sangat penting dalam menjana sumber kewangan persatuan sama ada daripada kerajaan mahupun penajaan.

"Lagipun kami tidak ragu-ragu dengan kemampuan Datuk Mukhriz kerana beliau memang seorang pemimpin yang mempunyai jiwa bola sepak dalam dirinya. Ia sudah dibuktikan ketika beliau menjadi presiden dahulu," kata Asmadi.

Ahmad Bashah yang menjadi presiden sejak dipilih menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar pada 2016 melepaskan jawatan itu pada 15 Mei lalu.

Ia disusuli peletakan jawatan Setiausaha Kehormat, Datuk Aminuddin Omar dan Bendahari, Datuk Yusof Ismail, sehari selepas itu.

Sementara itu Mukhriz berkata beliau sedia menimbangkan untuk kembali memimpin KFA jika itu yang dimahukan penyokong Lang Merah.

"Kalau penyokong rasa saya sesuai untuk terajui KFA sekali lagi sebagai presiden, saya boleh terima cadangan itu tapi perlu lihat adakah tindakan itu perlu atau cukup sekadar saya membantu dari luar sahaja," katanya baru-baru ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X